fbpx
Nasional

14 balik beraya di kampung dikompaun, yang lain akan menyusul

SEMALAM 1 Syawal, 14 individu yang merentas negeri dan berada di kampung masing-masing untuk meraikan Aidilfitri telah dikenakan kompaun.

Tindakan itu diambil kerana mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini bukti bahawa amaran polis akan buat pemantauan dari rumah-rumah ke rumah bukan main-main, malah ramai lagi yang degil dan kini berada di kampung akan dikenakan tindakan selepas ini.

Memetik laporan BERNAMA, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa tindakan kompaun itu membuktikan pihak berkuasa serius dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan SOP dipatuhi.

“Ada yang tidak percaya apabila saya kata polis akan buat pemantauan ketika Hari Raya, tetapi polis buat kerja. Yang sudah balik kampung (rentas negeri) melepasi jalan tikus tetap dicari.


“Ini terbukti semalam apabila 14 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang ketika itu berada di kampung masing-masing. Jadi kalau saya kata perkara ini serius, masih ada yang ambil ringan (mudah),“ katanya dalam sidang media harian PKPB, di Putrajaya, hari ini.

Mengenai sekatan jalan raya di 162 lokasi, Ismail Sabri, berkata terdapat peningkatan jumlah segelintir mereka yang degil dan mencuri-curi merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri iaitu sebanyak 1,243 kenderaan telah diarah berpatah balik berbanding 1,158 pada hari sebelumnya.

Ismail Sabri berkata setakat ini, kerajaan masih kekal dengan keputusan tidak membenarkan rakyat untuk merentas negeri.

Ditanya mengenai peraturan membawa empat penumpang dalam satu kenderaan masih dikuatkuasakan selepas sambutan Aidilfitri semalam, Ismail Sabri, berkata setakat ini ia masih lagi empat penumpang dalam satu kenderaan.

Menurutnya, beliau percaya bahawa semalam tidak ada kes individu yang ditahan kerana membawa lebihan penumpang.

“Sekiranya sebuah kereta dinaiki lebih empat individu pihak polis masih boleh menggunakan budi bicara sama ada untuk mengeluarkan kompaun atau sebaliknya.

“Jika ada sekatan jalan raya mendapati sebuah kereta dinaiki lebih empat orang dan penumpang kelima adalah bayi, sudah pasti polis guna guna budi bicara. Berdasarkan Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) memang sudah menjadi kesalahan namun polis masih ada budi bicara mengikut kesesuaian keadaan,” katanya.

Beliau berkata dalam Mesyuarat Khas Menteri sudah putuskan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan dan tidak terhad hanya empat orang seperti sebelum ini, mislanya kenderaan pelbagai guna (MPV) yang boleh muatkan enam orang.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri,berkata rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air boleh memuat turun Surat Aku Janji dan Indemniti (LOU) dari laman sesawang Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula hari ini.

“Setiap pemohon perlu menghantar dokumen berkaitan bersama-sama LOU lengkap ke e-mel perwakilan Malaysia selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh berlepas,” katanya.

Menurutnya empat agensi lain akan turut memuat naik LOU berkenaan ke portal masing-masing dalam masa  terdekat iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen.

Ismail Sabri berkata LOU itu selari dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan caj 50 peratus daripada kos kuarantin iaitu RM75 sehari kepada mereka yang pulang selepas 1 Jun ini.

“Ini juga membolehkan kerajaan membuat perancangan untuk memastikan pusat kuarantin mencukupi,” katanya.

Sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 270 pusat kuarantin beroperasi berbanding 271 pada hari sebelumnya dengan 13,997 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib 14 hari.

Katanya, seramai 40,716 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin sejak 3 April lalu dengan 33,092 daripada mereka selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button