Nasional

Covid-19: 172 kes baharu hari ini, tiada kematian

HARI kedua Syawal menyaksikan kes positif baharu Covid-19 meningkat melepasi angka seratus dengan 172 kes dicatatkan.

Bagaimanapun daripada jumlah itu 159 kes tidak membabitkan warganegara Malaysia.

Daripada kes bukan warganegara itu, 112 kes dikesan di tiga Depo Tahanan Imigresen (DTI).

Lima kes pula merupakan kes import yang mana mangsa mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kini ialah 7,417 kes.

“159 kes adalah bukan warganegara Malaysia yang mana 112 kes telah dikesan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dan hanya lapan melibatkan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham
Dr Noor Hisham Abdullah

Dr Noor Hisham berkata tiada kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal 115 atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata terdapat 34 kes pulih hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad ialah 5,979 kes (80.6 peratus).

Sehingga kini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu BERNAMA melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 207 daripada 13,929 pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depot Tahanan Imigresen di Semenanjung Malaysia didapati positif jangkitan virus COVID-19.

Katanya, daripada jumlah itu, 110 daripadanya telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk mendapatkan rawatan.

“Baki pendatang yang positif jangkitan itu masih lagi berada di tiga buah Depot Tahanan Imigresen iaitu di Bukit Jalil, KLIA dan Semenyih,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, seramai 238 pegawai imigresen yang bertugas di tiga depot tahanan terlibat dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari dan tugas kawalan diambil alih pegawai imigresen negeri yang berkaitan.

Khairul Dzaimee memaklumkan setakat ini terdapat seramai 14,496 pendatang tanpa izin di depot tahanan negara ini termasuk di Sarawak.

Sementara itu, Ismail Sabri, berkata lawatannya ke pusat kuarantin itu bagi melihat kemampuan tempat berkenaan menampung pesakit COVID-19 jika jumlahnya meningkat.

Beliau berkata pusat itu berkemampuan untuk menampung seramai 600 pesakit dan kerajaan telah pun mengenal pasti beberapa lagi pusat kuarantin lain untuk menempatkan pendatang tanpa izin ini jika bilangan mereka meningkat. – SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button