139 Tabika dan Taska di Kedah ditutup
KESAN daripada kluster Sivagangga terus membelenggu penduduk negeri Kedah dengan perkembangan terbaharu, 139 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) termasuk enam taman asuhan kanak-kanak (Taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditutup.
Semua Tabika dan Taska yang ditutup itu terletak di empat daerah berikutan penularan kes COVID-19 membabitkan Kluster Sivagangga.
Ia membabitkan 121 Tabika dan dua Taska di daerah Kubang Pasu, lapan Tabika dan dua Taska di Padang Terap, satu Tabika di Kulim Bandar Baharu dan lima Tabika di Kuala Kedah.
“Walaupun tiada laporan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak mahupun ibu bapa, penutupan itu terpaksa dilakukan sebagai langkah awal mengawal penularan wabak.
“Kita perlu mengambil langkah proaktif kerana ia membabitkan kepentingan dan keselamatan murid,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hendry Sum Agong menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan set peralatan perlindungan diri (PPE) Kemas Negeri Sembilan, di Seremban, hari ini.
Katanya, keseluruhannya terdapat 800 Tabika dan Taska di Kedah yang mana penutupan itu menimbulkan rungutan daripada ibu bapa terutama yang bekerja.
Tetapi katanya, perkara itu terpaksa dilakukan demi keselamatan semua pihak. – SM