Kastam rampas kokain bernilai RM17.6 juta
KASTAM merampas 88 kilogram (kg) dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM17.6 juta menerusi serbuan di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, pada 1 Ogos lalu.
Ketua Pengarahnya, Zazuli Johan berkata, dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu, sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam menyita empat unit kotak mengandungi 995 botol kaca yang di dalamnya terdapat kapsul disyaki kokain.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga menemukan alat ganti kenderaan iaitu cakera brek kereta dalam setiap kotak tersebut.
“Modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan mengikrarkan dagangan itu sebagai suplemen sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca mengandungi dadah berbahaya dan alat ganti kenderaan.
“Ia kali pertama sindiket menggunakan modus operandi seumpama itu. Sindiket juga menggunakan nama syarikat palsu sebagai syarikat penerima dalam Air Waybill (dokumen bagi penghantaran kargo udara),” katanya.
Menurut Zazuli lagi, siasatan awal mendapati dagangan tersebut dimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA itu sebagai destinasi terakhir dengan bekalan dadah itu untuk pasaran dalam negara.
Katanya, siasatan turut mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan hingga menyukarkan tangkapan dibuat.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat Julai lalu, sebanyak 382 kes perolehan dadah di seluruh negara berjaya dikesan membabitkan nilai rampasan RM180.5 juta dengan ekstasi mencatat nilai tertinggi iaitu RM96.2 juta, kokain (RM61.6 juta) dan methamphetamine (RM10.5 juta).
Tambah beliau, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh iaitu 19,996.4kg, dianggarkan seramai 440,000 penagih dapat diselamatkan.
Justeru beliau menyeru orang awam memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan barangan lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat dengan identiti mereka akan dirahsiakan. – SUMBER BERNAMA – SM