Nasional

Pakai kostum pontianak cari rezeki tambahan

Bazar Fiesta Aidilfitri Pantai Klebang 2023

JIKA anda berkunjung ke Bazar Fiesta Aidilfitri Pantai Klebang 2023 di sini jangan terkejut apabila melihat hantu pontianak dan anaknya berlegar-legar di situ.

Demi mencari rezeki seorang lelaki sanggup mengenakan kostum tersebut sambil menolak troli menjual minuman dan makanan di bazar tersebut.

BAZAR Fiesta Aidilfitri di Klebang tumpuan pengunjung membeli kelengkapan Hari Raya.

Bagi Mohd. Saifen Mohamed, 38, atau lebih dikenali Saifen Jibam Jibam berkata, dia mengenakan kostum pontianak bersama anaknya sekadar mencari rezeki tambahan buat keluarganya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, dua anaknya berusia empat dan lima tahun juga turut mengenakan kostum anak pontianak sambil berjalan bersamanya menjual air loncan, dadeh dan gula Melaka.

“Pendapatan saya bekerja sebagai penghantar surat tidak cukup untuk menampung membeli pakaian baharu untuk dua anak dan isteri menjelang Aidilfitri.

“Jadi saya ambil keputusan jual minuman dan makanan dengan menolak troli di bazar ini untuk tambahan pendapatan sambil mengenakan kostum Hang Tuah pada mulanya.

“Tetapi saya lihat kostum Hang Tuah kurang menarik minat orang ramai datang membeli minuman dan makanan yang dijual.

“Tiba-tiba timbul idea untuk saya mengenakan kostum pontianak. Saya beli kain putih, makeup dan rambut panjang sesuai dengan perwatakan sebagai hantu,” ujarnya ketika ditemui di sini malam tadi.

Mohd. Saifen berkata, sejak mengenakan kostum tersebut orang ramai yang berkunjung ke Bazar Fiesta Aidilfitri Pantai Klebang 2023 teruja melihat dia bersama anaknya.

Katanya, sepanjang dia berjalan di bazar berkenaan orang ramai tidak putus-putus berswafoto dan bergambar sambil mereka menyumbang tips ke dalam tabung yang disediakannya.

Dia berkata, hasil jualannya minuman dan makanan yang dijualnya tidak seberapa kerana meraih pendapatan antara RM30 hingga RM50 semalam.

“Tetapi tips yang saya terima daripada orang ramai yang bersedekah mencecah antara RM100 hingga RM150 semalam. Alhamdulillah ini semua rezeki anak-anak saya,” ujarnya yang menetap di Bachang.

Katanya, dia turut mempromosikan dirinya menawarkan perkhidmatan deejay dan menyewa peralatan sistem bunyi untuk majlis perkahwinan. – SM

BACA Bazar Aidilfitri Mega Klebang 2022: Peniaga raih untung berganda

BACA Cari rezeki bulan Ramadan jadi Bumblebee

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button