Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam, atas kesalahan membantu kegiatan along atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen, dua tahun lalu.
Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Jeshen Chong Chia Shen, 24, dan Lok Jin Rong, 25, mengaku bersalah sebaik pertuduhan berasingan dibacakan
terhadap mereka di samping menimbangkan keseluruhan fakta, rayuan dan hujah pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Jeshen Chong dan Lok, kedua-duanya bekerja sebagai pembantu logistik, membayar denda itu.
Berdasarkan pertuduhan Jeshen Chong pada 2 Februari 2021 hingga 29 Mac 2021 di Bukit Baru, di sini, didapati membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan bagi tujuan itu.
Sementara, Lok pula didakwa melakukan kesalahan sama dengan membenarkan akaun Maybanknya digunakan untuk aktiviti pinjaman wang tanpa lesen di tempat sama pada 27 Februari 2021 hingga 28 Mac 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta, pengadu dalam kedua-dua kes adalah seorang wanita yang mendakwa dihubungi seorang lelaki dikenali sebagai ‘Kenny’ yang meminta bayaran faedah hutang sebanyak RM1,000 kerana lewat membayar pinjaman.
Supspek juga mengugut akan menghantar orang membuat kacau di rumah pengadu jika enggan membayar
kadar faedah itu sedangkan bayaran pinjaman sudah dibuat.
Bimbang keselamatan diri dan keluarga, pengadu membuat laporan polis hingga tertangkapnya kedua-dua tertuduh pada 25 November 2022.
Hasil siasatan polis, kedua-dua tertuduh mengaku membantu aktiviti pinjaman wang tanpa lesen dan semua wang dibayar oleh pengadu ke dalam akaun mereka didapati dipindahkan ke akaun lain.
Terdahulu, Jeshen Chong yang masih bujang dan Lok yang sudah berkahwin dan menyara dua anak serta isteri tidak berkerja merayu hukuman denda ringan kerana sudah menyesal atas kesalahan
dilakukan.
Mereka juga menyatakan sudah berpindah ke Kuala Lumpur dan memulakan kehidupan baru serta memohon diberikan peluang memperbaiki diri kerana itu kesalahan pertama dan usia masih muda.
Begitupun, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob berhujah supaya hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan
sama.- SM