11 tahun SMKBB2020 beroperasi tanpa dewan, harap bajet 2023 ada sinar
Pembentangan Bajet 2023 semalam yang menyaksikan peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) dari RM52.6 billion pada tahun lalu kepada RM55.6 billion sekali gus meletakkan kepentingan masyarakat dan rakyat dalam meperkasakan sistem dan pembangunan dalam sektor pendidikan.
Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Bandar Behrang 2020 (SMKBB2020), Prof Madya Dr Ghazali Din berkata diharapkan dengan pertambahan bajet itu turut memberi sinar kepada nasib 600 murid sekolah berkenaan yang terpaksa menjalani aktiviti kokurikulum tanpa sebuah dewan serbaguna.
Beliau berkata sejak sekolah berkenaan dibina dan mula beroperasi pada Oktober 2010, dewan untuk memberi kemudahan kepada murid melaksanakan pelbagai aktiviti kokurikulum tidak dibina sekali.
“Di Daerah Muallim, semua sekolah menengah sudah memiliki kemudahan itu dengan setidaknya dewan terbuka kecuali SMKBB2020.
Justeru, katanya, PIBG berusaha memohon ihsan dari pelbagai pihak agar sebuah dewan terbuka dapat dibina di tengah blok bangunan sedia ada.
“Baru-baru ini kami sudah menyalurkan permohonan rasmi menerusi Timbalan Menteri Pendidikan 1, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon dan diharapkan KPM memberi perhatian ke atas masalah ini,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan, keprihatinan dan simpati Dr Mah terhadap kekurangan infrastruktur yang dihadapi oleh warga SMKBB2020.
Dengan adanya sebuah dewan terbuka, katanya, murid dan guru dapat menjalankan aktiviti dengan lebih selesa sekali gus ,meningkatkan prestasi kokurikulum bukan sahaja di peringkat Daerah Muallim malah peringkat negeri dan nasional.
“Sehingga kini pentadbiran sekolah mengadakan perhimpunan pagi di dataran tanpa bumbung di tengah kawasan sekolah, namun terganggu apabila hujan turun atau bila panas mula berbahang sekitar jam 8.00 pagi,” katanya.
Ketika berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020, dataran yang terdedah kepada hujan itu berlumut akibat sekolah lama ditutup sekali gus membahayakan keselamatan guru dan murid jika tergelincir jatuh.
“PIBG tidak mampu dan tidak memiliki dana yang banyak untuk menampung kos pembinaan dewan terbuka seperti sekolah lain,” katanya.
Beliau berkata sewaktu dibina juga, tidak dibangunkan sebuah bangunan surau, sebaliknya surau menggunakan bilik kelas sahaja.
Justeru, pihak PIBG memohon pihak pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempercepatkan proses bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh SMKBB2020.
Untuk rekod, SMKBB2020 mempunyai 505 murid atau 84.1 peratus murid yang terdiri dari latar keluarga asnaf dan B40 yang mendorong PIBG perlu menggerakkan pelbagai usaha membantu pihak sekolah dalam meningkatkan prestasi akademik, kokurikulum dan kebajikan pelajar.
Menurut beliau PIBG bersama pihak sekolah ingin melaksanakan pelbagai program yang boleh membina kemenjadian dan menggilap potensi diri pelajar, demi membina kecemerlangan diri mereka.
“Kami yakin keprihatinan kerajaan hari ini terhadap masyarakat menerusi pembentangan Bajet 2023 dapat membantu mengatasi dilema yang ditanggung pihak sekolah dan murid sekian lama,” katanya.