Politik

101 projek: Guan Eng dakwa penipuan besar, bongkar esok

BEKAS Menteri Kewangan  Lim Guan Eng mendakwa senarai 101 projek yang didedahkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  melibatkan 19 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri sebagai satu penipuan besar.

Bekas menteri ketika era pemerintahan Pakatan Harapan selama dua tahun itu berkata, dia akan membongkarkan apa yang didakwanya sebagai taktik jahat Perikatan Nasional di Parlimen esok.

“Satu penipuan besar oleh Menteri Kewangan Perikatan Nasional. Taktik jahat PN akan dibongkarkan dalam sidang akhbar di Parlimen esok pada 11 pagi. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungka,” ciap Guan Eng di Twitterrnya.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul hari ini mendedahkan senarai kementerian yang terlibat dalam pemberian 101 projek bernilai RM6.61 billion secara rundingan terus ketika era pemerintahan Pakatan Harapan.

Pendedahan itu dibuat selepas dicabar oleh pemimpin pembangkang.

Related Articles

Nilai perolehan tertinggi dicatatkan oleh Kementerian Pengangkutan iaitu sebanyak RM4,477 juta (4 projek)  diikuti Kementerian Pertahanan RM900.86 juta (6 projek) dan Kementerian Dalam Negeri RM517.68 juta (8 projek).

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mencatatkan bilangan projek tertinggi diberikan secara rundingan terus iaitu sebanyak 13 projek melibatkan nilai perolehan RM5.67 juta.

Diikuti Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebanyak 12 projek (RM380 juta) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu 9 projek  (RM10.36 juta).

Beberapa pihak mengkritik Pakatan Harapan kerana masih mengamalkan rundingan terus ketika mentadbir negara sedangkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 bertegas mahu mengamalkan tender terbuka.

Buku Harapan Janji 23, menyatakan akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.

“Janji 23: Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat:

“Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat.

“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.”-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button