10,000 sukarelawan tarik diri menjelang Olimpik Tokyo
KIRA-KIRA 10,000 daripada 80,000 sukarelawan Olimpik Tokyo 2020 telah menarik diri, demikian didedahkan oleh pihak penganjur ekoran keraguan berterusan 50 hari lagi menjelang bermulanya temasya itu.
Ketua Tokyo 2020, Seiko Hashimoto, menolak sebarang penundaan lebih lanjut pada temasya tersebut, dan mengatakan pembatalan hanya akan berlaku dalam keadaan bencana seperti perwakilan tidak dapat datang ke Jepun.
Jepun berhadapan dengan gelombang keempat Covid-19, dengan Tokyo dan beberapa bahagian lain di negara itu berada keadaan darurat yang akan berlangsung hingga sebulan sebelum temasya tersebut.
Pada malam Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Tokyo 2020, Toshiro Muto memberitahu media tempatan bahawa sekitar 10,000 sukarelawan – yang sangat penting untuk kelancaran acara besar – telah berhenti, sebahagian besarnya disebabkan oleh masalah Covid-19.
Sebilangan sukarelawan kemungkinan juga termasuk di antara kira-kira 80 peratus penduduk Jepun yang menentang penganjuran Sukan Olimpik tahun ini, menurut tinjauan pendapat.
Tetapi tinjauan dalam kalangan penduduk Tokyo mendapati perpecahan yang lebih seimbang antara mereka yang memihak dan menentang untuk mengadakan temasya tersebut.