Nasional

100 mahasiswa UPSI timba ilmu penulisan berita

Kebolehan menulis laporan dalam bentuk berita untuk media massa dapat membantu meningkatkan imej universiti sebagai tempat menimba ilmu oleh mahasiswa.

Dr Che Anuar (enam dari kanan) bersama Dr Ghazali (tujuh dari kiri) bersama peserta Bengkel Penulisan Berita di Dewan KHAR, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Justeru, seramai 100 mahasiswa dari kolej kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil peluang mengikuti Bengkel Penulisan Berita anjuran Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) yang dikendalikan pensyarah kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof Madya Dr Ghazali Din yang berpengalaman luas dalam penyediaan bahan berita kepada media.

Urus setia MMK KAR yang bertungkus-lumus menjayakan Bengkel Penulisan Berita.

Pengetua KHAR, Dr Che Anuar Che Abdullah dalam ucapan perasmiannya berkata peserta perlu mengambil peluang sebaik mungkin bagi memperolehi ilmu penulisan yang bertujuan meningkatkan imej kolej kediaman dan universiti.

“Bengkel ini bukan sahaja melibatkan mahasiswa KHAR, namun dibuka kepada lain-lain kolej supaya lebih ramai mendapat ilmu penulisan berita dan memahami fungsi media terhadap universiti,” katanya.

Peserta bengkel tekun menulis berita dalam kumpulan masing-masing.

Beliau berharap perkongsian itu membantu meningkatkan ilmu peserta kerana ia tidak ada di dalam bilik kuliah .
Sementara itu , Pengarah Program, Farah Adila Azim berkata program bengkel itu berupaya mendedahkan peserta mengenai teknik penulisan berita yang bersesuaian dengan format penulisan berita di akhbar.

“Bengkel ini membolehkan peserta mempraktikan penulisan selain membina pemahaman dalam meningkatkan kebolehan mahasiswa menulis selain menerima idea baharu dan berkeupayaan dalam mengembangkan penceritaan mengenai program yang diadakan di kolej-kolej kediaman,” katanya.

Farah Adila Azim

Farah Adila berharap ilmu yang diperoleh melalui program itu menjadi nilai tambah dalam diri peserta secara menyeluruh dan diharapkan menjadi program tetap bagi setiap MMK di setiap kolej kediaman khususnya KHAR.

Katanya, program itu diadakan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa yang pandai mengarang berita , malah ia satu inisiatif untuk mahasiswa mengambil pengalaman dan kemahiran baharu yang boleh digunakan untuk masa hadapan.

Awangku Zaini Awang Zainal

Dr Ghazali berkata peserta perlu cekap menghidu program atau pencapaian universiti yang dapat diwar-warkan menerusi media massa sama ada menerusi akhbar bercetak atau atas talian serta portal media.

“Sebagai warga UPSI, kita perlu memahami konsep pemberitaan setiap agensi media bagi memudahkan urusan penerimaan bahan untuk siaran mereka,”katanya.

Beliau berkata hubungan baik antara pihak universiti dan media sangat membantu dalam menjayakan usaha penyiaran informasi dari universiti.

Yang Dipertua MMK KHAR, Awangku Zaini Awang Zainal menganggap usaha Biro Penerbitan dan Publisiti itu memberi faedah kepada mahasiswa bagi mempelbagaikan kemahiran insaniah mereka sebelum bergraduat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button