JenayahNasional

Zon Maritim Kuala Perlis rampas 25 set bubu naga

TAHAP kesedaran yang rendah dalam komuniti nelayan serta keinginan mengaut untung yang cepat dan mudah antara punca penggunaan bubu naga masih berleluasa.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara salah dan dilarang ini.

Walaupun telah banyak rampasan bubu naga dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan termasuk penangkapan ikan dengan menggunakan kaedah rawa sorong, penangkapan ikan di luar kawasan yang dibenarkan serta pencerobohan.

Terbaharu Zon Maritim Kuala Perlis telah merampas 25 set bubu naga (bubu kambang)
di dua kedudukan berbeza iaitu kira-kira 0.4 dan 0.3 batu nautika daripada barat pesisir pantai Kuala Perlis, Perlis sekitar pukul 12 tengahari, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Aman/Op Benteng Laut di perairan Perlis telah melalui pancang-pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan.

“Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu tersebut adalah penanda lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM2,000 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Katanya, penggunaan bubu naga boleh mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah untuk masuk ke perangkap jaring terbabit dan menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan.

“Segelintir nelayan di negeri ini dikesan masih menjalankan kegiatan penangkapan ikan menggunakan bubu naga, meskipun penggunaannya telah diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

Mohd Hashim berkata, Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Maritim Malaysia juga turut meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button