Nasionalpilihan

Zon bebas kenderaan elak gegaran rosakkan struktur bangunan bersejarah

Bimbang berlaku kerosakan dan kecacatan bangunan khususnya pada
bangunan merah serta sekitarnya menjadi antara sebab utama kerajaan negeri ingin memperkenalkan zon bebas kenderaan bermula dari persimpangan Padang Nyiru hingga Menara Taming Sari.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kemasukan antara 25,000 hingga 27,000 buah kenderaan ke laluan tersebut setiap cuti hujung minggu menyebabkan berlaku gegaran yang boleh menjejaskan infrastruktur bangunan-bangunan bersejarah sekitarnya.

Rais Yasin melihat pelbagai makanan kucing selepas melancarkan CSR Cat Supermarket di Taman Paya Rumput, Melaka.

Menurutnya, langkah memperkenalkan zon bebas kenderaan itu adalah salah satu kaedah yang dilihat dapat memastikan kenderaan yang memasuki kawasan itu dapat dikawal agar bangunan itu mampu dijaga dengan baik.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memulihara bangunan-bangunan sejarah untuk warisan masa hadapan.

“Bayangkan kemasukan 25,000 hingga 27,000 kenderaan setiap minggu sebenarnya mewujudkan gegaran yang dibimbangi boleh merosakkan infrastrukur bangunan sekitarnya.

“Kita memikirkan untuk lihat bagaimana negara-negara di Eropah boleh mengawal bangunan bersejarah mereka dan salah satu kaedah adalah mengawal kemasukan kenderaan,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Cat Supermarket Taman Paya Rumput di sini hari ini.

Rais berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab menjaga dan memulihara seluruh bangunan bersejarah di kawasan tersebut selari dengan pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2008.

Mengulas mengenai percubaan zon bebas kenderaan yang mula dilaksanakan minggu lalu Rais berkata, hasil pemantauan melalui media sosial pihaknya menerima banyak aduan dan komen yang positif.

Menurutnya, hasil daripada itu kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menambah baik setiap aduan dan komen bagi memajukan lagi kawasan tersebut.

Berhubung berlakunya kesesakan jalan raya beliau berkata, pihaknya telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari jalan terbaik mengatasi masalah tersebut.

“Insya-Allah setiap komen dan aduan masyarakat kita akan ambil kira dan kita tambah baik dari masa ke semasa,” ujarnya.

Justeru katanya, penutupan jalan dari persimpangan Padang Nyiru hingga Menara Taming Sari setiap Sabtu bermula dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam akan berterusan sehingga satu keputusan akan diambil. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button