Zainal Azni dilantik Ketua Pengarah RISDA
Zainal Azni Zulkifli dilantik sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang ke-17 berkuat kuasa 7 Jun lepas.
Pelantikan itu susulan persaraan Datuk Abdullah Zainal pada 6 Jun.
“Pengalaman luas dan kecemerlangan Zainal Azni dalam pelbagai jawatan penting di pelbagai organisasi termasuk RISDA menjadikan beliau calon ideal bagi menerajui agensi ke fasa baharu pembangunan sektor pekebun kecil getah di negara ini.
“Mulai 2020, beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn Bhd (KRH) dan berjaya mencapai keuntungan signifikan sebanyak RM53.3 juta yang merupakan pencapaian tertinggi syarikat RISDA dalam tempoh ini,” menurut RISDA.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan watikah pelantikan kepada Zainal Azni dalam satu mesyuarat yang diadakan di Putrajaya semalam. – SM