Saingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin dijangka sengit apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan menjadi calon ketiga mengumumkan akan bertanding jawatan tersebut pada pemilihan parti bulan depan.
Ini menjadikan saingan di Jasin paling mencuri perhatian apabila penyandangnya, Datuk Hasan
Rahman yang akan mempertahankan jawatannya yang disandangnya sejak 2018 akan turut ditentang Ketua Pemuda Bahagian Jasin yang juga ADUN Merlimau, Dr. Muhammad Akmal Saleh.
Sudah tentu tumpuan bakal terarah di Jasin menyaksikan dua barisan Exco kerajaan negeri akan bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin ketika penyandangnya, Hasan lebih awal mengumumkan mempertahankan jawatan yang disandangnya.
Zaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar mengumumkan akan bertanding merebut jawatan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam malam Selasa lepas.
Pada mesyuarat tersebut beliau turut mengumumkan barisan yang akan bersama beliau terdiri daripada Datuk Roslan Ahmad yang mempertahankan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang disandangnya manakala Mohd. Sham Dali yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian bertanding jawatan Naib.
Roslan yang kalah bertanding di kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum ini dikatakan menawarkan diri mencabar Hasan.
Sebelum ini rombongan Zaidi yang melancong ke Hatyai, Thailand minggu lalu telah memuktamadkan keputusan menyokong ADUN Serkam itu turut menawarkan diri merebut jawatan utama itu.
Muhammad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri telah menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin baru-baru ini.
Difahamkan ADUN Merlimau itu juga membariskan beberapa tokoh untuk bersamanya iaitu Azman Abdullah akan bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, ADUN Rim, Khaidirah Abu Zahar pula bertanding Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin.
Manakala ADUN Sungai Rambai, Siti Faezah Abd. Azis pula mencabar jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin yang disandang Datuk Zaleha Bujang.
Sementara itu Hasan turut mempertaruhkan barisannya apabila Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin yang juga Pengarah Kewangan UMNO Pusat dan Akauntan Barisan Nasional Malaysia (BN), Datuk Shahrul Azuwar Abdul Aziz bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin.
Ahli Jawatakuasa Bahagian yang juga seorang ahli perniagaan, Datuk Ahmad Baharuddin pula akan mencabar jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian. – SM