Zahid terima kunjungan Najib, siap hadapi PRU 15
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumahnya malam tadi.
Ahmad Zahid turut berkongsi tiga keping gambar kunjungan Najib bersama beberapa pemimpin UMNO di Facebooknya.
Menurut Ahmad Zahid mereka telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. Dalam hantarannya, Ahmad Zahid melontarkan pertanyaan sama ada rakyat bersama mereka.
“Malam tadi menerima kunjungan Dato Sri Najib dan rombongan ke rumah saya. Terima kasih.
“Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?” tanya Ahmad Zahid.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan terdapat desas-desus kononnya ada desakan supaya Najib dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Menurut akhbar itu usaha untuk melobi jawatan tersebut sedang dilakukan bagi membolehkan Najib mendapat kembali jawatan yang pernah dipegang beliau sebelum ini.
Secara tradisi jawatan Pengerusi Barisan Nasional secara automatik disandang oleh Presiden UMNO.
Kemelut politik negara ketika ini berada dalam keadaan tidak stabil apabila parti pembangkang mendakwa mereka telah memperolehi majoriti sokongan ahli Parlimen untuk kembali menjadi kerajaan.
Dengan majoriti tipis yang dimiliki oleh Perikatan Nasional di Dewan Rakyat banyak pihak berpendapat satu-satunya jalan penyelesaian terhadap krisis politik yang tidak berkesudahan itu hanyalah melalui pilihan raya umum dengan mandat ditentukan semula oleh rakyat.-SM