Zahid sumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi tak sokong Anwar jadi PM
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan melafazkan sumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk tidak sama sekali menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Perkara tersebut diberitahu oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam program bual bicara secara maya di NRChannel TV pada Selasa.
Ahmad berkata, beliau menjadi saksi bahawa Ahmad Zahid telah melafazkan sumpah berkenaan yang turut menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan dan DAP.
“Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri dan tidak akan bersama dengan PH dan DAP di hadapan beberapa ahli Parlimen.
“Saya ada ketika itu, ini baru lagi baru sehari dua yang lalu. Jadi tuduhan terhadap beliau itu adalah yang tidak berasas,” katanya.
Dalam program bual bicara itu Ahmad turut menyatakan Anwar tidak akan menjadi perdana menteri seterusnya kerana tidak mempunyai sokongan majoiti.
Ini kerana menurut Ahmad, 15 ahli Parlimen UMNO yang kini meninggalkan Perikatan Nasional sama sekali tidak akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri bagi mengantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
“Dia (Anwar) hanya ada 105 (ahli Parlimen). Itu pun tidak mencapai 111 dan UMNO tidak akan sokong dia. UMNO yang ada 15 (ahli Parlimen UMNO) itu tidak akan sokong mereka. Presiden tidak akan membawa untuk sokong mereka,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO menyerahkan keputusan untuk melantik perdana menteri yang baharu kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti hilang majoriti untuk mengetuai kerajaan.-SM