Zahid masih cuti sakit, perbicaraan ditangguhkan
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, namunj perbicaraan keatas 40 tuduhan rasuah ke atas beliau berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) ditangguhkan sekali lagi.
Keputusan penangguhan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa kerana Ahmad Zahid masih berada dalam cuti sakit akibat kecederaan yang dialaminya baru-baru ini.
“Mahkamah menerima permohonan pihak pembelaan minggu lalu yang memohon perbicaraan kes ini dilapangkan.
“Berdasarkan surat cuti sakit yang diserahkan pihak pembelaan hari ini, tertuduh mendapat kebenaran cuti sakit sehingga 4 September ini.
“Mahkamah bersetuju bahawa tertuduh kurang sihat untuk menghadiri perbicaraan. Sehubungan itu, perbicaraan kes ditangguhkan,” katanya.
Hakim turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana hadir ke mahkamah walaupun mengalami masalah kesihatan.
Seblum itu, pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu mahkamah, pihaknya bersedia meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi pendakwaan.
Namun, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memohon penangguhan sebelum menyerahkan laporan kesihatan anak guamnya.