Yang di-Pertuan Agong jalani rawatan di IJN
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.
Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja, IJN selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan baginda.
“Adalah juga dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka Baginda tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” kata Ahmad Fadil.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong dijangka akan dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat.
Sementara itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu semalam dalam rangka lawatan peribadi turut bergegas pulang hari ini untuk bersama dengan Al-Sultan Abdullah.
Tunku Hajah Azizah juga telah membatalkan lawatan tersebut yang dijadualkan selama tiga hari sehingga esok.
“Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan,” kata Ahmad Fadil.-SM