Politik

Yakinkah PH menang PRU kali kedua jika Agong bubar Parlimen?

ulama

AKAN kecohkah sidang Parlimen 18 Mei ini andai kata usul undi tidak percaya dibangkitkan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Sekiranya Perdana Menteri kelapan itu kalah dalam undi tidak percaya itu, Muhyiddin mungkinkah akan menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen dan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan?

Kata peguam Datuk Salehuddin Saidin kepada sebuah stesen televisyen Februari lepas, bidang kuasa menangguh atau membubarkan Parlimen termaktub di bawah Perkara 55 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.

Cuma, jelasnya, yang menjadi persoalan, adakah Perkara 55 Fasal (2) itu perlu dibacakan secara bersama-sama Perkara 40 dan 43 dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kuasa tersebut mesti datang daripada Perdana Menteri.

“Jika tidak ada dan tidak tahu siapa majoriti, ada kemungkinan Agong boleh gunakan kuasa di bawah Perkara 55 untuk bertindak membubarkan Parlimen,” katanya.

Jelas, Perkara 43(2) yang termaktub dalam Perlembagaan menetapkan syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat.

Realitinya, harus diterima hakikat bahawa Institusi Raja bukan sahaja perlu dihormati oleh orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Malangnya, perkembangan semasa memperlihatkan wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, cuba menyanggah kerelevanan dan menggugat Institusi Raja dengan mengambil kesempatan daripada hak dan kebebasan bersuara.

Umpama “hujan jatuh ke pasir”, tindakan itu sangat tidak wajar dan tidak membawa sebarang makna kerana Institusi Raja bukanlah satu institusi yang diada-adakan, tetapi menjadi teras kepada keutuhan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara. Pemikiran yang menolak institusi beraja ini boleh meruntuhkan peradaban negara. Institusi ini merupakan salah satu tonggak tatanegara atau politik sejak zaman berzaman.

Institusi Raja mempunyai peranan yang tersendiri dalam konteks peradaban dan pembangunan masyarakat. Misalnya, Yang di-Pertuan Agong boleh menyampaikan amanat kepada rakyat tentang pengukuhan negara bangsa dan penyatuan rakyat demi kesejahteraan bersama.

Titah Diraja di Parlimen misalnya, akan menjadi acuan dalam penggubalan dasar nasional, memberikan petunjuk kepada pembangunan ekonomi negara dan merupakan garis panduan dalam penggubalan atau pindaan undang-undang.

Tekad Yang di-Pertuan Agong untuk melihat penyatuan kaum boleh menjadi sumber inspirasi untuk kita terus menjalin dan memperkukuh perpaduan nasional. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang mengatasi tembok politik boleh menjadi wahana penyatuan agar rakyat boleh hidup bersama-sama tanpa dibatasi perbezaan dan fahaman politik yang semakin tidak keruan.

Rakyat termasuklah ahli-ahli politik masih ingatkah dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara, 30 Julai tahun lalu?

Titah baginda: “Semua pihak agar jangan sekali-kali cuba mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara. Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman”.

Meskipun berkias, ia sarat dengan makna bahawa akibat buruk yang boleh membawa keruntuhan sebuah negara bangsa akhirnya. Pendek kata, “sama lebur, sama binasa”.

Persoalannya, andai kata Parlimen dibubarkan waktu terdekat ini, yakinlah Pakatan Harapan (PH) boleh menang kali kedua pilihan raya umum? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button