Ya Tuhan, berikan saya kekuatan harungi fitnah ini, doa Maszlee
“YA Tuhan. Berikan saya kekuatan untuk mengharungi fitnah ini.”
Itu doa dan juga keluhan bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik terhadap laporan berita yang disiarkan portal FMT.
Laporan berita itu mendakwa kononnya antara penyebab Maszlee dinasihatkan untuk menghantar surat letak jawatan kerana merancang untuk membuka King Salman Centre for International Peace (KSCIP).
Maszlee berkata, laporan itu satu fitnah dan menegaskan beliau tidak pernah ada perancangan mengenai King Salman Centre for International Peace (KSCIP) semasa menjadi Menteri Pendidikan dahulu.
Ahli Parlimen Simpang Rengam yang berasa hairan dengan laporan berita itu, sebaliknya mempersoalkan apa kaitan pusat tersebut dengan Kementerian Pendidikan.
“Saya sudah tiada jawatan apa-apa. Saya bukan lagi menteri. Saya hanya rakyat biasa.
“Saya mohon agar fitnah sebegini dihentikan segera oleh sesiapa sahaja dalangnya, dan saya merayu sangat-sangat agar media menyemak dahulu kesahihan berita sebelum disiarkan,” kata Maszlee.
Maszlee berkata, pihak yang sangsi dengan sebarang kesahihan boleh menyemak dengan KPM.
Jelas Maszlee, segala gerak kerja beliau ada dalam laporan dan direkodkan.
FMT hari ini melaporkan, sumber memberitahu, cubaan membuka semula pusat “anti-terorisme” yang disokong Arab Saudi dan ditutup kerajaan Pakatan Harapan dikatakan punca kata dua Dr. Mahathir Mohamad kepada Maszlee Malik.
Menurut FMT, sumber yang enggan dinamakan itu berkata, perdana menteri marah apabila dengar Maszlee di belakang rancangan membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), di samping aduan demi aduan terhadap bekas menteri pendidikan itu dalam mengendalikan portfolionya.
“Itu yang membuatkan Mahathir habis sabar, dan ia berlaku selepas Saudi meminggirkan Sidang Kemuncak KL awal bulan ini, jadi baginya tidak patut sama sekali,” katan sumber itu, merujuk kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dihadiri pimpinan Turki, Iran dan Qatar, dan dibantah Riyadh.”
Rancangan untuk pusat itu, yang dicadangkan selepas lawatan Raja Saudi, Salman Abdul Aziz ke Malaysia pada 2017, dibatalkan pada Ogos 2018, tiga selepas Pakatan Harapan berkuasa.
Menurut FMT, portal itu difahamkan pada satu mesyuarat 31 Disember lepas, perdana menteri memberitahu Maszlee beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan membuka semua KSCIP.
Sumber berkata, Mahathir sangat marah Saudi mengenakan tekanan ekonomi ke atas Pakistan sehingga memaksa Perdana Menteri Imran Khan membatalkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak KL.