NasionalNegeri

Wujudkan jawatankuasa khas selaras kompleks perniagaan di Padang Besar

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelaras empat buah kompleks perniagaan di Padang Besar, Perlis.

Baginda bertitah, pembukaan dua buah kompleks perniagaan baharu yang dijangkakan dalam tahun ini dan juga dua buah lagi yang sedia ada iaitu Arked Niaga dan Padang Waremart, tidak wajar beroperasi secara ‘silo’ atau sendirian tanpa penyelarasan bersama.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra (kanan) berkenan menyantuni salah seorang asnaf sambil mengurniakan sumbangan MAIPs pada Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Padang Besar.

Titah Baginda, dengan penyelerasan bersama ini akan dapat memberikan tahap keselesaan yang baik kepada para pengunjung, dan pada masa yang sama memperoleh keuntungan serta efisiensi yang maksima kepada para peniaga.

Baginda bertitah, keempat-empat buah kompleks ini bersama-sama beberapa buah deretan rumah kedai yang sedia ada akan lebih bermanfaat jika aliran trafik pengunjung, lokasi-lokasi kemudahan asas seperti parkir, tandas, surau, ruang mainan kanak-kanak dapat dirancang dan dilaksanakan penyusunan termasuk landskap secara menyeluruh dan lebih teratur.

“Begitu juga disusun atur kembali akan lokasi strategik untuk membuang dan mengutip sampah, gedung ‘storage’ yang khusus serta tempat-tempat naik dan turun kenderaan awam, khidmat dan ‘routing’ ‘shuttle service’ dari pintu sempadan dan juga dari Stesen Keretapi Padang Besar perlu diaturkan mengelilingi kesemua kawasan ini untuk memudahkan pergerakan khususnya pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli berkenan singgah Kampung Kolam yang mempunyai tumbuhan teratai.

Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Felda Rimba Mas, Padang Besar.

Berangkat sama ialah anakanda Baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Kayuhan bertujuan untuk menyalurkan bantuan dan menyantuni asnaf terpilih di negeri ini tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs, berkenan untuk mengurniakan sumbangan bantuan MAIPs kepada Chek Enson Mahmud, 68, Aris Mat, 69 dan Saodah Awang, 72.

Kesemua penerima pada kali ini bermastautin di Felda Rimba Mas.

Setiap asnaf menerima bantuan sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli, beras Fidyah dan sebuah kipas angin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengadakan lawatan ke kompleks baharu dan juga Plaza Niaga Padang Besar yang merupakan antara tarikan baharu yang bakal dibuka tidak lama lagi sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 ini.

Pengurus Perancangan & Pelaburan, Pengurusan Korporat, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Hasmadi Ibrahim dan Pengurus Besar PZS Group, Muhd Noraswazdi Jamaludin juga mempersembahkan taklimat kepada Baginda berhubung operasi di kawasan berkenaan.

Para peniaga akan menjual pelbagai barangan di kedai serta kiosk yang diharap lebih menarik kelak.

Raja Muda turut berkenan singgah melawat Stesen Keretapi Padang Besar yang merupakan salah satu stesen yang sibuk terutamanya pada cuti umum dan cuti sekolah.

Stesen ini menjadi tumpuan bagi para pengguna yang ingin berbelanja di Padang Besar dan juga salah satu pilihan pengangkutan awam untuk ke Thailand yang Baginda harap akan sentiasa diuruskan dengan baik, bersih dan memudahkan pengguna.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berbual dengan orang awam ketika singgah di Stesen Keretapi Padang Besar semasa mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli sekitar Padang Besar.

Baginda juga bertitah supaya kolam di Kampung Kolam yang mempunyai tumbuhan teratai dapat dijadikan sebagai kawasan rekreasi untuk penduduk setempat dapat menggunakannya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar para peniaga di Padang Besar secara keseluruhannya dapat memperbaharui papan tanda, nama dan bidai di premis masing-masing yang kelihatan lama atau lusuh agar para pelanggan dan pengunjung dapat membaca dengan lebih jelas dan kelihatan menarik. – SM

BACA Pulapot, Army Red Warrior bakal berpindah ke kompleks baharu

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button