WFH ikut ketetapan syarikat, MKN
ARAHAN untuk bekerja di rumah haruslah dibuat mengikut penjadualan pergerakan. Itu menurut pandangan ahli akademik yang juga merupakan penganalisa politik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman.
Sambil memberikan contoh, Dr. Fithri berkata, misalnya, jika kita mempunyai 10 orang kakitangan makan kita perlu pecahkan kepada dua kumpulan yang pergi ke pejabat selama dua hari.
“Dan kumpulan kedua pula, dua hari yang lain dan seterusnya. Berapa ramai dalam satu-satu kumpulan, ia terpulang kepada syarikat,” katanya kepada SUARA MERDEKA.
Beliau berkata, bagi pekerja teknikal yang melibatkan kepakaran dan kemahiran, mereka perlu hadir bekerja tetapi mesti dipastikan, mereka ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan dinasihatkan untuk melakukan swab test.
“Kita faham pekerja teknikal yang melibatkan kepakaran dan kemahiran, perlu datang bekerja tetapi mestilah patuh SOP.
“Kumpulan pekerja ini juga mesti buat swab test bagi memastikan mereka tidak dijangkiti,” katanya sambil menambah, pekerja pengurusan yang tidak perlu berada di pejabat, perlu membuat kerja-kerja di rumah.
Tambah beliau, arahan ini (bekerja di rumah) juga boleh mengurangkan pergerakan ke tempat awam dan mengurus penjarakan.
“Masalahnya ramai yang tidak ikut. Kawasan di Publika misalnya terdapat kelonggaran dari sudut SOP. Ramai orang duduk beramai-ramai bersama-sama di dalam Pub.
“Ini perlu dipantau dengan serius oleh pihak penguatkuasa dan diambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang bukan sahaja degil tetapi ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.
Namun bagi yang berniaga persendirian seperti ‘Makcik Kiah’ yang mempunyai kedai nasi lemak dan roti canai, dibolehkan berniaga dengan syarat mengikut SOP yang ditetapkan, katanya.
Kata Dr. Fithri, bekerja secara WFH ini bukan memberikan lesen untuk mereka ke sana ke sini secara bebas.
“WFH ini bererti bekerja seperti biasa tetapi menggunakan ketetapan syarikat dan juga MKN kerana WFH ini tidak menjamin bahawa tahap keberjangkitan itu akan turun JIKA yang WFH ini tidak berdisiplin,” katanya.
Seramai 776,135 pekerja di Lembah Klang, Sabah dan Labuan dalam sektor pengurusan dan penyeliaan dikehendaki bekerja dari rumah bermula esok.
Arahan tersebut selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti dimaklumkan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. – SM