Nasional

WEZAS UPSI sokong agenda Keluarga Malaysia dengan pengagihan RM1.2 juta bantuan kepada mahasiswa B40 tahun 2022

Pasir Salak- Bagi menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyuburkan pendidikan kepada seluruh golongan masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus cakna menyokong peranan tersebut menerusi inisiatif penubuhan pusat Wakaf Endowment Zakat Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI sejak 2017.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin, terdapat tiga fokus utama WEZAS dalam pembangunan pelajar yang dilaksanakan melalui dana zakat, pembangunan fizikal melalui dana wakaf serta pembangunan akademik dan penyelidikan melalui dana endowmen.

“Ketiga-tiga fokus ini adalah sasaran utama penunjuk indeks utama WEZAS bagi tahun 2022 dengan memberi keutamaan pengagihan zakat kepada para mahasiswa B40 agar dapat menjalankan pembelajaran sempurna semasa tempoh pengajian,” jelasnya ketika menyerahkan sumbangan komputer riba kepada dua pelajar UPSI sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Sagor, Pasir Salak, hari ini.

Dr Norkhalid (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada Nurul Aina Najwa sambil diperhatikan Rosliza @ Rosli (dua dari kanan) semasa program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato Sagor, Pasir Salak.

Menurut Norkhalid lagi, menerusi inisiatif wakaf pula, UPSI mengutamakan pembangunan fizikal iaitu prosarana disediakan melalui sumbangan awam manakala pendapatan menerusi endowmen pula ialah menyediakan tajaan dan pembiayaan bagi kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Timbalan Pengarah WEZAS UPSI, Dr. Rosliza @ Rosli Mahmud berkata UPSI akan terus memperkukuhkan dana zakat bagi membantu melahirkan generasi asnaf dan golongan B40 yang cemerlang.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata melalui inisiatif itu juga, WEZAS UPSI telah mengagihkan pendapatan sebanyak RM 1.194 juta ringgit pada tahun 2022 kepada golongan warganya yang terdiri daripada mahasiswa golongan B40, asnaf dan yang memerlukan.

Memanjatkan rasa syukur atas penerimaan sumbangan komputer riba, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Nurul Aina Najwa Mohamad Razib, 22, akan memanfaatkan sebaik-baiknya pemberian tersebut untuk meneruskan pengajiannya.

“Alhamdulillah jika sebelum ini saya perlu berkongsi penggunaan komputer riba dengan abang untuk menjalani pengajian secara dalam talian, namun saya amat bersyukur dengan adanya komputer riba ini sekaligus menaikkan semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh untuk capai cita-cita saya,

“Mana tahu selesai pengajian nanti, saya dapat gunakannya dalam pengajian ijazah sarjana pula,” jelasnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button