“WELCOME Junior Ijat” dalam warna merah di cermin meja solek di bilik tidur adalah tulisan terakhir mangsa yang maut ditembak suaminya seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal pada kira-kira pukul 6 pagi semalam di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Perlis.
Gambar tulisan dari gincu oleh mangsa ini dirakam oleh salah seorang ahli keluarganya ketika masuk untuk mengemas bilik tidur lokasi kejadian berdarah ini.
Ini kerana mangsa yang dikatakan sedang mengandung lima bulan itu telah pun mengetahui jantina anaknya adalah lelaki.
Lebih menyayat hati, enam pasang baju untuk bayi lelaki ditemui ahli keluarga semasa mengemas bilik mangsa.
Dalam kejadian ini, arwah Safsufarnisya Salleh, 26, telah ditembak mati oleh suaminya pada kira-kira pukul 6 pagi semalam di bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Perlis.
Mangsa telah ditemukan di atas katil dalam keadaan mengiring itu didapati mempunyai kesan tembakan pada bahagian bawah mata kiri.
Bagaimanapun bapa mangsa, Salleh Izan, 61, mengakui sudah dapat menerima kehilangan anak bongsunya dari empat beradik ini dan sudah memaafkan menantunya (suspek) yang menjadi punca kehilangan anak yang disifatkan sangat manja.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan menerima kedatangan ibu, ayah dan keluarga menantu yang datang dari Terengganu dengan hati terbuka,” katanya.
Beliau menceritakan, tidak menyangka peristiwa malang ini kerana menantunya (suspek) sebelum ini seorang yang sangat mengambil berat kebajikan beliau dan isteri termasuk membawa kedua mereka ulang alik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Katanya, paling tidak melupakan mengenai arwah kerana sudah menjadi tabiat manjanya akan memeluk dan mencium dia dan isteri, Che Mas Taha, 63
setiap hari.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain hadir melawat keluarga mangsa dan suspek di lokasi kejadian.
Hadir sama Ketua Polis Negeri, Datuk Surina Saad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan. – SM