Nasional

KPWKM pastikan kebajikan mangsa banjir di PPS terjaga

MENTERI Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri hari ini telah
mengadakan sesi lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kota Dalam dan PPS Pintas Puding Daerah Batu Pahat, Johor dalam memastikan kebajikan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS terjaga.

PPS Kota Dalam menempatkan seramai 277 mangsa daripada 77 keluarga manakala PPS Pintas Puding  menempatkan seramai 370 mangsa daripada 121 keluarga.

KPWKM mengucapkan terima kasih kepada syarikat makanan segera McDonalds yang telah menyumbangkan makanan kepada mangsa di PPS Kota Dalam hari ini.

Kementerian amat menghargai segala sumbangan yang diberikan dan menyeru semua syarikat korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta individu agar terus menghulurkan bantuan dan sumbangan yang amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir.

Semuasumbangan boleh disalurkan terus kepada nombor akaun 160140010004801 (Alliance Bank Berhad, Yayasan Kebajikan Negara).

Dalam masa yang sama, KPWKM mengambil serius dakwaan Datuk Seri Wee Ka Siong, Ahli Parlimen kawasan Ayer Hitam berkaitan kualiti makanan yang dibekalkan kepada mangsa banjir yang menduduki PPS di Sekolah Agama Taman Seri Kota Yong Peng, Johor pada 5 Mac 2023.

Berikutan dakwaan tersebut KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara tersebut adalah disebabkan pembekal yang dilantik sukar untuk mendapatkan bahan mentah berikutan banjir besar yang melanda.

Pihak JKM Batu Pahat telah memberi nasihat dan teguran kepada pembekal untuk meningkatkan perkhidmatan menu makanan yang disediakan mengikut kadar yang berpadanan dengan harga yang telah dipersetujui.

Pembekal telah diberikan peluang terakhir untuk menambah baik mutu perkhidmatan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

JKM juga akan berusaha mengenal pasti pembekal bahan mentah yang mampu untuk menyediakan bekalan dalam kadar segera jika Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah terlibat memutuskan supaya makanan disediakan secara gotong-royong seperti cadangan YB Datuk Seri Wee Ka Siong.

Namun begitu,perkara ini perlu mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

KPWKM dari semasa ke semasa sentiasa menasihatkan semua pembekal yang dilantik membekalkan makanan di PPS seluruh negara supaya memberikan perhidmatan terbaik dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir yang menghuni PPS terpelihara.

Walaubagaimanapun, KPWKM menegaskan tidak akan berkompromi dengan pembekal yang cuai dan tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam memberikan perkhidmatan.

Sementara itu, KPWKM melalui jabatan dan agensinya terus menggembleng tenaga dalam membantu mangsa banjir yang terjejas.

Setakat jam 8.00 pagi, 6 Mac 2023 sebanyak 311 buah PPS telah dibuka di seluruh negara yang melibatkan tiga negeri iaitu Johor (284 PPS), Pahang (21 PPS) dan Melaka (6 PPS).

Jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 50,499 orang daripada 14,521 keluarga yang dibantu oleh seramai 1,015 petugas terdiri daripada 415 orang kakitangan JKM dan 600 orang sukarelawan.

Orang ramai yang terlibat dalam bencana banjir dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke tempat yang selamat dan mereka yang berada di tempat yang berisiko mestilah sentiasa berjaga-
jaga. Bilik Gerakan JKM Johor boleh dihubungi melalui 07-228 1453.

Bilik Gerakan JKM di negeri-negeri lain akan diaktifkan mengikut keperluan dan keadaan banjir semasa. Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sekiranya perlu.

Maklumat terkini mengenai PPS di seluruh negara juga boleh diakses oleh orang ramai melalui Aplikasi InfoBencanaJKM  2.0 yang boleh dimuat turun melalui Apps Store dan Play Store.

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button