Belang Bertempat

Wartawan, warwartawan, putarwan

BANYAK jenis wartawan yang ada di pasaran hari ini. Sejak dunia tanpa sempadan semua boleh mendakwa dia adalah wartawan.

Sebab itu para ilmuwan masih berdebat sehingga hari ini apakah wartawan adalah kerjaya profesional seperti doktor dan jurutera.

Jawapannya semakin  jelas hari ini kerja wartawan bukan satu kerjaya profesional, walaupun wartawan berusaha sekuat mana untuk mengekal tahap profesional, tetapi lebih ramai yang tidak profesional.

Jika orang biasa-biasa pun mampu meniru sesuatu tugas itu ia bermakna pekerjaan tersebut bukanlah sesuatu yang profesional.

Siapa sahaja boleh menulis dan merapu sudah dianggap wartawan. Lebih hebat lagi jika kaki putar belit, ramai yang sanggup membayar untuk melakukan kerja-kerja kotor itu.

Sebenarnya mereka yang merasakan diri wartawan itu bukanlah wartawan. Mereka hanyalah wartawan jadi-jadian. Mereka menulis apabila dibayar atau menunggang isu sahaja.

Wartawan sejati menulis dari hati dan bukan kerana dibayar tetapi kerana cinta akan dunia penulisan dan bidang kewartawanan.

Menulis ini sama juga dengan mata pisau jika tidak diasah ia akan berkarat, jadi wartawan perlu setiap hari menulis sama ada di akhbar, portal berita mahupun di media sosial.

Apabila wartawan memutuskan untuk tidak menulis agak lama ia akan kehilangan sentuhan, aliran ayatnya tidak lancar seperti air yang mengalir.

Namun ada sejenis wartawan yang kaki putar belit. Wartawan kaki putar belit ini asalnya memang seorang wartawan semasa belajar di pusat pengajian tinggi. Bagaimanapun apabila dia menyertai organisasi yang mementing sensasi dan putar belit berbanding fakta dan integriti maka jadilah dia kaki putar belit.

Kaki putar belit ini bukan ditakuti, tetapi tidak digemari oleh banyak pihak, khususnya kerajaan kerana kestabilan mental dan emosi wartawan berkenaan diragui.

Wartawan memang perlu berfikiran kritis dan berpandang luas serta berpengetahuan, tetapi bukan kaki putar belit.

Belang sudah melihat wartawan dari media kaki putar belit ini bila menyertai media arus perdana dia tidak dapat bekerja dengan baik kerana hati, minda dan nalurinya berkecamuk apabila diminta bekerja tanpa putar belit.

Kadangkala Belang kasihan melihat wartawan yang telah dirosakkan pemikiran dan jiwanya oleh ketua-ketua yang kaki putar belit.

Kaki putar belit ini hanya digemari oleh mereka yang bermasalah. Kaki putar belit ini ibarat seekor anjing yang dijangkiti wabak anjing gila.

Dia sentiasa menggila dan mencari mangsa untuk digigit. Jadi orang berkepentingan ini akan mengguna anjing gila ini dengan menjuruskan kepada siapa yang mahu digigitnya.

Belang tidak terkejut apabila ada orang politik termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii juga menggunakan khidmat anjing gila bagi menggigit musuhnya.

Menuduh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berjumpa media adalah satu tuduhan melulu dan semberono.

Persoalannya Perdana Menteri tidak berjumpa wartawan yang bagaimana? Sebagai pemimpin nombor satu negara Perdana Menteri perlu memilih wartawan yang benar-benar wartawan bukan tipuwan, putarwan dan banyak lagi jenisnya.

Portal kaki putar ini pula akan menggunakan siapa sahaja untuk meluruskan beritanya yang sudah diputar belit. Demi mengejar khalayak yang banyak mereka akan menunggang apa isu yang digemari, bukannya apa yang baik untuk negara.

Isu yang paling digemari ialah yang menghentam kerajaan. Siapa juga menjadi kerajaan akan dihentam tidak kira kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan (kurang sikit dihentam sebab kroni) mahupun Perikatan Nasional.

Mengapa Razlan mencari portal putar alam, jawapannya mudah sahaja media yang lain tidak gemar memutarkan fakta sebab kebanyakan penulisnya adalah mereka yang teguh berpegang kepada prinsip, integriti dan etika kewartawanan.

Semua makhluk mengenali kawasan alam sekitar masing-masing, sehingga haiwan yang tidak berakal mengenali habitatnya secara tabii.

Hidupan darat tidak melompat untuk hidup di kawasan air kerana tidak mahu mencari mati. Hidupan laut juga kalau sesat ke sungai air tawar, cepat-cepat pulang ke laut kerana rasa tidak selesa hidup di alam sekeliling yang tidak sesuai dengan kejadiannya.

Malangnya ada manusia yang berakal suka melampau, sehingga melakukan sesuatu di luar alam manusia.

Belang simpulkan dengan ayat al-Quran untuk direnungi.

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Mumtahanah: 8-9)

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button