SUARA MERDEKA: Setelah kehilangan pekerja dalam sekelip mata, saya dan rakan-rakan sesekali mengadakan pertemuan bagi bertanya khabar serta sebagai usaha untuk meredakan tekanan hidup yang dihadapi pada masa ini.
Dalam pertemuan hari ini pelbagai cerita yang disampaikan dengan ada yang akan menunaikan umrah dan ramai juga yang belum mempunyai sebarang pekerjaan.
Ramai juga yang mula pergi temuduga kerja, tetapi keputusan sangat menyedihkan. Bukan tidak dapat kerja, tetapi gaji yang ditawarkan lebih rendah daripada tukang cuci iaitu hanya RM1,500.
Majikan kini mengambil kesempatan untuk mendapatkan tenaga kerja mahir berkelayakan dan berpengalaman dengan menawarkan gaji lebih rendah daripada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini adalah kerana selepas ini Media Prima pula akan membuang pekerja dan banyak lagi syarikat media sedang mengurangkan kakitangannya.
Mungkin ini yang dimaksudkan 640,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan di seluruh negara sebagaimana yang diwar-warkan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran di Parlimen hari ini.
Menurut beliau 150,000 pekerjaan telah diwujudkan tahun ini. Jawapan beliau ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memang sedap didengar telinga. Tetapi hakikatnya tidak begitu.
Sehingga September lalu juga seramai 24,600 pekerja telah dibuang oleh sektor swasta. Jika dilihat campur dan tolak tidak ada mereka yang menganggur pada masa ini. Sedangkan hakikatnya kira-kira 500,000 orang sedang menganggur dan termasuklah kira-kira 170,000 siswazah.
Ekonomi negara kini dipacu oleh syarikat-syarikat perniagaan keluarga yang diusahakan 30 tahun yang lalu. Syarikat sebegini amat berhati-hati dalam memperluaskan perniagaan dan mereka lebih gemar mengambil pekerja di dalam kalangan ahli keluarga sendiri berbanding orang luar.
Inilah yang menyukarkan para pencari kerja untuk mengisi jawatan yang kosong kerana diletakkan syarat-syarat yang aneh seperti perlu fasih bahasa Mandarin.
Realitinya juga hampir tiada syarikat besar yang melabur di Malaysia pada masa ini, dan syarikat sebeginilah yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat negara ini. Jika peluang pekerjaan seperti menjadi pemandu Grab, penghantar barangan atau makanan yang dibayar gaji tidak seberapa tidak menjamin kehidupan yang lebih baik apatah lagi jika tinggal di kota metropolitan Kuala Lumpur yang sangat tinggi kos sara hidupnya.
Aspek inilah yang gagal dilihat oleh kerajaan hari ini, sebaliknya mereka hanya menelan mentah-mentah angka yang diberikan oleh pegawai kerana terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa tentang kenapa mereka diletakkan oleh rakyat di tempat hari ini.
Mereka tidak seperti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sangat teliti dan menyiasat untuk memahami sesuatu permasalahan.
Kabinet yang ada hari ini sangat pincang dan perlu diperbaiki atau dirombak dengan segera oleh Perdana Menteri jika beliau serius untuk membawa negara ini keluar dari kemelut ekonomi pada masa ini.