Nasional

Warga POLIMAS, komuniti tanam pokok bakau di persisiran pantai Kampung Jeruju

SERAMAI 124 orang termasuk warga Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra yang terdiri dari pelajar, pensyarah serta komuniti Jawatankuasa Kemajuan Kampung Jeruju, Kuala Jerlun, Kedah menyertai penanaman pokok bakau di persisiran pantai Kampung Jeruju.

Aktiviti ini melibatkan penanaman pokok bakau dari spesis Bakau Kurap dan juga Bakau Minyak.

Ini merupakan usaha bersama untuk memulihara habitat dan ekosistem kawasan terbabit.

Sebahagian peserta yang menyertai program penanaman pokok bakau di persisiran persisiran pantai Kampung Jeruju, Jerlun, Kedah.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Muhammad Abdullah berkata, program Penghijauan Malaysia telah dilancarkan oleh kerajaan melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri semasa Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-77 pada 8 September 2020.

Katanya, pelancaran kempen Penghijauan Malaysia ini telah dilaksanakan serentak di seluruh negara pada 5 Januari 2021.

“Kempen ini menyasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025 melibatkan seluruh penduduk Malaysia dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Katanya, pada program kali ini pula sebanyak 1,000 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Jerlun bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Peserta program yang melibatkan warga POLIMAS bersama komuniti tekun menanam pokok bakau.

Pengarah Program, Zakiah Md Saad berkata, ia bertujuan memberi kesedaran warga POLIMAS dan penduduk setempat betapa pentingnya rakyat menjaga alam sekitar.

Salah seorang pelajar POLIMAS, Muhammad Faris Hasni Abdul Rahman dari jurusan Diploma Pemasaran berkata, melibatkan pelajar dalam program pemuliharaan hutan disifatkan sebagai amat baik.

“Aktiviti ini meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kawasan pemuliharaan hutan serta memupuk rasa cinta kepada alam sekitar bagi pelajar amnya,” katanya.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya berkata, ia sejajar dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang telah diadakan di mana POLIMAS ingin bersama-sama dengan Jabatan Hutan Negeri Kedah bagi menjayakan program tanaman pokok bakau ini bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup.

“Selain itu usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti di negeri Kedah ini,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program ini. – SM

BACA UPSI proaktif laksana program penghijauan Malaysia kempen penanaman 100 juta pokok

BACA Demi pemuliharaan: 235,497 pokok bakau ditanam di pesisir pantai di Negeri Sembilan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button