Warga emas hasilkan kraf, lukisan untuk “galeri” Hari Kebangsaan
TANGGAL 31 OGOS bakal kembali. Sebagai penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan negara yang telah dikecapi selama 66 tahun seharusnya ia disambut dengan penuh semangat oleh setiap warganegara.
Semangat luar biasa ini dilihat pada dua warga emas iaitu Mahsuri Mahmood, 65 yang bergandingan dengan bapa saudaranya Rosli @ Rasli Ludin, 74 yang tinggal di Kampung Wang Besar, Bintong, Perlis.
Apa yang menarik cara sambutan dua warga emas ini sangat berbeza.
Sekalipun kibaran Jalur Gemilang memenuhi jalan masuk ke rumah Mahsuri sehingga ke kawasan sekitar rumahnya tetapi ia masih belum mencukupi pada mereka berdua.
Sebenarnya keduanya telah bertungkus-lumus sejak sebulan lalu bagi menghasilkan kraf tangan dan juga lukisan dari barang terbuang untuk dipamerkan pada “galeri kecil” bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan.
Kebetulan Mahsuri berkebolehan menghasilkan bunga tiruan manakala Rosli pula handal melukis.
Idea warga emas ini memang hebat, cara sambutan lain dari yang lain, sekaligus membuktikan semangat ini wajar menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain.
“Saya memang ada konsep pada setiap kali sambutan Hari Kebangsaan di mana pada tahun ini ia bertemakan “Gerbang Kemerdekaan”, ujarnya ketika ditemui wartawan Suara Merdeka.
Kata Mahsuri, dari “Gerbang Kemerdekaan” ia sebagai pintu masuk ke “galeri kecil” yang dipenuhi dengan kraf tangan dan lukisan yang tertera dengan perkataan yang mampu membangkitkan semangat kemerdekaan.
Beliau berkata, ada juga sudut “Seni Warisan” yang diletakkan peralatan lama seperti mesin taip, mangkuk tingkat, pinggan dan juga bekas pinang sekaligus mengingatkan kepada zaman dahulu sebelum negara capai kemerdekaan.
Mahsuri menggunakan sudu dan botol plastik yang dijadikan sebagai bunga tulip dan bunga raya yang dicat dalam pelbagai warna.
“Jaring bungkusan bawang dijadikan sebagai bunga raya manakala tangkai pula dari tali mesin rumput,” katanya merupakan seorang pesara kerajaan.
Sementara Rosli pula lebih fokus terhadap melukis ke atas bahan terbuang.
“Kali ini saya melukis pada jam dinding dan juga bebola lampu,” katanya.
Selain itu beliau juga melukis perkataan “‘Malaysia Madani” pada kepingan jubin lantai selain menggunakan pasu lama.
Malah Rosli juga melukis Jalur Gemilang dan juga bendera setiap negeri pada meja batu bersebelahan pondok di kawasan rumah Mahsuri.
Kata Mahsuri beliau dan Rosli mengambil masa sebulan bagi menyiapkan semua ini sebagai membukti kecintaan terhadap negara Malaysia.
Hanya RM300 sahaja dibelanjakan oleh warga emas ini bagi teemasuk membeli Jalur Gemilang yang baharu serta cat. – SM