Warga asing fitnah polis, dakwa diugut hingga rugi RM8,000
SEORANG lelaki warga asing ditahan selepas membuat laporan polis palsu yang mendakwa dirinya diugut polis hingga kerugian RM8,000.
Difahamkan, suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.33 malam semalam di Jalan Selangor, Off Jalan Travers, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek memberikan keterangan yang tidak konsisten dengan laporan yang dibuat.
“Semakan terhadap akaun milik suspek mendapati tiada transaksi pengeluaran wang pada tarikh 21 Februari 2021 seperti yang didakwanya.
“Suspek juga mengaku telah membuat laporan palsu dengan rekaan satu kejadian yang tidak wujud kerana wang yang dipinjam dari majikan telah tercicir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, suspek juga membuat laporan polis agar mendapat simpati daripada pihak majikan bagi mendapatkan pinjaman wang untuk kali kedua.
“Kita juga telah melakukan serbuan di rumah suspek dan merampas sekeping laporan polis dari Balai Polis Sri Hartamas, kad ATM (3), telefon bimbit (2) serta resit penyata bank (2),” jelasnya.
Kes akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Kuala Lumpur dengan cadangan pertuduhan terhadap pengadu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -SM