Nasionalpilihan

Warga asing diminta beredar seketika kerana gagal patuh SOP di PPV

POLIS terpaksa mengambil tindakan drastik dengan meminta semua warga asing supaya beredar seketika daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil selepas kebanyakannya gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bukan kerana kehabisan vaksin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, tindakan drastik itu terpaksa diambil dengan mengarahkan mereka beredar dan hadir semula pada pukul 2 petang untuk mendapatkan vaksin.

“Kita sudah beberapa kali memberikan nasihat dan teguran kepada mereka supaya patuh pada SOP sebelum itu.

“Tindakan ini diambil adalah bagi memastikan kesemua petugas dan masyarakat setempat serta bukan warganegara yang hadir selamat daripada penularan wabak Covid-19 sejajar dengan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial berkenaan video yang memaklumkan bahawa kesemua mereka diarahkan beredar dari kawasan PPV tersebut selepas empat jam beratur kerana kehabisan vaksin.

Mengulas mengenai rakaman video tersebut, Muhammad Idzam berkata, kejadian tersebut berlaku semalam kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Ketua Pengurus PPV Stadium Nasional Bukit Jalil telah bersetuju dengan nasihat pihak kita agar membuat dua sesi walk- in bagi bukan warganegara iaitu pada sesi pagi dan juga petang.

“Ini kerana kawasan PPV tersebut telah dibanjiri oleh warga asing seawal pukul 4 pagi yang mana majoriti mereka adalah pekerja daripada sektor Industri perkilangan dan pembangunan,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan menambah kekuatan untuk mengawal situasi ini berikutan tarikh bukan warganegara mendapatkan vaksin akan berakhir pada esok.

Selain itu, jelasnya, orang awam juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan posting tular ini kerana bimbang akan mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Tambahnya, sebarang perubahan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hendaklah dipatuhi.

Sebarang maklumat atau pertanyaan lain boleh disalurkan kepada Hotline Polis Cheras di talian
03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis
yang berhampiran. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button