Wanita mengandung tujuh bulan mati ditembak diperut
PASIR MAS: Seorang wanita mengandung ditemui maut dengan kesan tembakan pada perut di dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang diparkir di tepi jalan berhampiran Kampung Repek, di sini, pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mayat mangsa yang berusia 26 tahun dan dipercayai mengandung tujuh bulan, ditemui orang awam kira-kira jam 4 petang.
Katanya, hasil keterangan saksi awam mendapati kenderaan berkenaan disedari berada di tepi jalan itu sejak petang Jumaat.
“Mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dengan terdapat kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri.
“Terdapat satu kelongsong peluru pada bahagian kaki penumpang belakang sebelah pemandu.
“Temu bual dengan ibu mangsa memberitahu mangsa yang juga peniaga mengandung tujuh bulan,” katanya dalam satu kenyataan Sabtu malam.
Menurut Muhamad Zaki, semakan awal mendapati kenderaan tersebut didaftarkan atas nama mangsa.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat manakala siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Katanya, susulan penemuan mayat itu, polis menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai buruh kampung pada jam 11.25 malam Sabtu, bagi membantu siasatan.