Wanita hamil penerima vaksin ke-3 juta
Lebih tiga juta rakyat Malaysia kini telah disuntik dengan vaksin Covid-19 dengan penerima ketiga juta merupakan seorang wanita hamil dari Lenggong, Perak.
Nur Amalina Baharuddin menerima suntikan vaksin ketiga juta itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna, Gerik pada pukul 3 petang semalam.
“Alhamdullilah, saya bersyukur dan teruja kerana sejak subuh saya periksa MySejahtera dan dapat temujanji hari ini juga.
“Pada siapa-siapa yang belum lagi mendaftar vaksin segeralah berbuat demikian bagi mencapai komuniti berkelompok yang sihat seperti sebelum ini. Siapa yang sudah dapat janji temu, pergilah ambil suntikan. Jangan tak ambil,” pesan beliau.
Nur Amelina yang disuntik dengan vaksin keluaran Pfizer pada mulanya memperoleh janji temu asal di Kuala Lumpur kerana mendaftar alamat di ibu negara.
Beliau bagaimanapun menetap di tempat kelahirannya di Lenggong buat sementara waktu kerana suaminya sedang bekerja di luar pantai.
Dia telah menghubungi Pusat Panggilan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memohon pertukaran janji temu ke tempat penetapannya terkini.
Beliau memperoleh janji temu baharu dalam masa dua jam iaitu pada 12.40 tengah hari di aplikasi MySejahtera.
Pemberian vaksin kepada Nur Amalina yang sedang hamil berjalan lancar setelah mendapat nasihat perubatan daripada doktor yang bertugas.