Wanita DAP beri penghormatan terakhir kepada Tun Rahah
WANITA DAP pagi ini turut memberi penghormatan terakhir kepada jenazah balu Perdana Menteri Kedua, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.
Antara yang hadir Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Bakri, Yeoh Bee Yin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman.
“Tun Rahah adalah seorang tokoh wanita yang unggul dan yang disegani. Allayaharmah juga merupakan balu dan ibu kepada dua orang bekas Perdana Menteri Malaysia.
“Selain itu kami juga menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan Datuk Seri Najib di dalam masjid,” kata Teresa.
Sementara Young Syefura pula mengingati Allahyarhamah Rahah sebagai seorang ibu yang cekal dan wanita yang cukup dikenali dengan sifat lemah lembut sesuai sebagai isteri Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Kecekalan Allahyarhamah dalam mengambil alih tugas sebagai seorang ibu sangat dihormati dan disanjung tinggi apabila suami tercinta Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia pada usia Allahyarhamah 43 tahun.
“Menjadi seorang ibu tunggal bukan kerja yang mudah, banyak tanggungan dan tanggungjawab, namun Allahyarhamah bergitu cekal menjalankan amanah untuk memastikan anak-anak dan keluarga mendapat pendidikan yang terbaik dikala ketika itu anak-anak masih berada dibangku persekolahan.
“Dalam memastikan wanita diiktiraf di peringkat yang lebih tinggi, Allahyarhamah telah memegang beberapa jawatan dalam persatuan wanita yang menjadi contoh kepada pemimpin wanita pada hari ini,” kata Young Syefura.
Rahah, 87, yang juga ibu kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggal dunia, petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, tengah hari ini. – SM