Seorang wanita warga emas bersama cucunya berusia 12 tahun, yang sesat ketika menuju ke kebun durian di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Baharu, semalam, ditemui dalam keadaan selamat pada pukul 9.30 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa ditemukan kira-kira dua jam selepas operasi mencari dan menyelamat disambung semula hari ini, lapor Bernama.
Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pencarian dihentikan pada pukul 7.20 malam berikutan cuaca gelap dan hujan di lokasi.
Semalam, wanita itu telah menghubungi anak perempuannya pada tengah hari memaklumkan dia hilang sebelum bateri telefon bimbitnya mati.
Susulan itu, anak sulungnya membuat laporan polis pada pukul 3 petang semalam.
Mukhlis berkata operasi hari ini melibatkan enam anggota dari balai bomba dan penyelamat Kuala Kubu Baharu termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan orang awam.
“Saudara-mara mangsa berjaya mengecilkan lokasi mereka melalui panggilan telefon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – SM