Qari dari Kuala Lumpur, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan qariah dari Kelantan, Che Hasmah Draman dinobat sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran Pertubuhan Bekas Ahli 4B (Alumni) Malaysia di Masjid Al-Muhaimin, Bemban, di sini semalam.
Keputusan tersebut membolehkan mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan senaskah al-Quran.
Tempat kedua pula dimenangi qari dari Melaka, Mohd. Fairuz Husin menerima wang tunai RM1,500 dan ketiga menjadi milik Mohd Syahiruddin Daud dari Negeri Sembilan mendapat RM1,000 selain plug serta senaskah al-Quran.
Qariah dari Melaka, Normawaty Sahat pula menduduki tempat kedua diikuti Sulina Samad dari Johor pula berada di tempat ketiga.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan RM1,000 di samping plug dan senaskah al-quran.
Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkenaan menyempurnakan majlis penutupan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Al-Muhaimin, Bemban di sini.
Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian bakul makanan kepada 100 fakir miskin, ibu tunggal, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).
Hadir sama Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad; Timbalan Presiden, Datj Abdul Talib Abd. Fahmi; Naib Presiden, Datuk Hasan Rahman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Che Sukri Che Mat.
Hasan berkata, seramai 15 peserta menyertai tilawah tersebut yang terdiri daripada lapan qari dan tujuh qariah dari seluruh negara bertanding selama dua hari bermula Sabtu lalu.
“Program pertama ini akan terus menjadi acara tahunan di setiap bulan Ramadan berdasarkan sambutan yang diberikan daripada peserta seluruh negara,” ujarnya.
Menurutnya, pihak Alumni 4B bercadang untuk meningkatkan lagi hadiah kemenangan sebagai usaha untuk menarik minat lebih ramai peserta.
Selain itu katanya, selain tilawah pihaknya akan memperkenalkan kategori hafazan al-Quran 10 juzuk bahagian hafiz dan hafizah mulai tahun hadapan.
“Kita juga bercadang ingin menjemput qari dan qariah dari negara jiran iaitu Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei,” ujarnya. – SM