Volvo Car Malaysia buka Pusat Pembaikan Kerosakan Bertauliah terbesar di Juru, Pulau Pinang
VOLVO Car Malaysia telah membuka pusat Pusat Pembaikan Kerosakan Bertauliah Volvo yang terbaharu dan terbesar di Malaysia. Ia bertempat di Juru, Pulau Pinang, pusat servis khas ini dilengkapi sistem moden dan termaju yang selaras dengan teknologi hijau yang terkini. Ia dapat memastikan kerja-kerja baik pulih badan kereta dan cat berada pada kualiti yang tertinggi.
Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, berkata: “Pembukaan pusat servis khas kami yang terbaru dan terbesar di Juru, Pulau Pinang menandakan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan selepas jualan yang terunggul kepada pelanggan kami.”
“Para pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami dan hanya dalam jangka masa setahun, kami sudah membuka tiga pusat servis khas ini yang diharap akan dapat memberikan keyakinan kepada pelanggan bahawa mereka tetap terjaga dengan penjagaan standard antarabangsa Volvo.”
Dengan kedudukannya yang strategik di utara Semenanjung Malaysia, pusat servis khas di Juru, Pulau Pinang ini dipilih kerana ia berhampiran dengan lebuh raya utama.
Dengan binaan seluas 40,000 kaki persegi, pusat ini dilengkapi teknologi yang terkini serta para juruteknik yang mahir. Pusat ini mempunyai keupayaan untuk mengendalikan jumlah kereta Volvo yang banyak, pada masa yang sama mampu untuk memastikan kecekapan operasi, pembaikan yang berkualiti dan perkhidmatan yang sebaik mungkin untuk pelanggan.
Pusat servis khas ini direka bentuk secara moden dan praktikal untuk melengkapi estetik berunsur Scandinavia yang dibawa oleh jenama Volvo bersama sistem termaju yang selaras dengan teknologi hijau terkini. Antaranya adalah sistem pemeriksaan dan pembaikan kenderaan termaju, Car-O-Liner.
Sistem penjajaran badan dan casis yang begitu berkuasa dan tepat ini membolehkan juruteknik mengesan segala kerosakan, termasuklah yang mungkin tidak dapat dilihat pada mata kasar. Dengan Car-O-Liner, kerangka badan kereta yang rosak boleh dijajarkan semula mengikut standard kilang dengan tepat, pantas dan selamat untuk memastikan kepuasan pelanggan.
Pusat ini juga mempunyai ruang cat yang khusus iaitu bilik adunan PIVAB dan ruang semburan PIVAB. Bilik cat PIVAB menyediakan persekitaran terkawal untuk juruteknik mengadun cat dengan tepat dan konsisten, manakala ruang semburan PIVAB membantu menyingkirkan wasap dan partikel dari udara, untuk menyediakan ruang kerja yang lebih selamat dan sihat bagi para juruteknik.
Kedua-dua teknologi ini juga dapar mengurangkan impak terhadap alam sekitar, pada masa yang sama boleh memastikan kualiti cat yang terbaik untuk kereta.
Tan Loon Shen, Pengarah Urusan iRoll Ipoh Sdn. Bhd, pula berkata: “Kami bangga kerana dapat bekerjasama dengan Volvo Car Malaysia dan kami komited untuk membawakan keunggulan dalam segala aspek proses Volvo Certified Damage Repair, dari diagnosis dan kerja-kerja pembaikan hinggalah kepada penyenggaraan dan servis.”
“Tumpuan kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan pengalaman yang menyenangkan untuk pelanggan kami. Menerusi teknologi mesra alam dan aliran kerja dan proses yang cekap, matlamat kami adalah untuk menyediakan penyelesaian mampan yang berkesan untuk ketenangan pelanggan, selaras dengan inisiatif kemampanan Volvo.”
Kredit: EnjinDotCom
Artikel berkaitan > Volvo C40 terima penarafan 5 bintang Euro NCAP