Vivy Yusof kongsi gambar dirinya sedang rawat di hospital, selepas diasak oleh netizen
SEJAK semalam, warganet mula mendesak usahawan terkenal, Datin Vivy Yusof, untuk tampil memberikan penjelasan mengenai isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam Fashion Valet Sdn Bhd, yang dikatakan mengakibatkan kerugian sebanyak RM43.9 juta.
Vivy, atau nama penuhnya Vivy Sofinas Yusof, memberikan respon melalui Instagram Story setelah desakan tersebut. Dalam hantaran itu, Vivy menzahirkan perasaan ingin berkongsi lebih banyak mengenai situasi yang berlaku, namun memilih untuk menunggu waktu yang lebih sesuai. Beliau juga menasihati agar warganet berhati-hati dalam menyebarkan fitnah yang boleh menjejaskan reputasi orang lain.
Selain itu, usahawan berusia 36 tahun tersebut turut memuat naik gambar dirinya sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan. Walaupun tidak menjelaskan dengan terperinci masalah kesihatan yang dialami, Vivy memaklumkan bahawa beliau sedang “berjuang” menghadapi situasi ini dan berjanji akan berkongsi lebih lanjut apabila tiba masanya.
Insiden kerugian dalam pelaburan Fashion Valet ini mencetuskan perhatian ramai, memandangkan ia melibatkan dana awam yang diuruskan oleh Khazanah dan PNB. Ramai yang berharap Vivy dapat memberikan penjelasan untuk merungkai isu yang hangat diperkatakan ini.