Ekonomi

Vietjet raih kedudukan tinggi dalam senarai 50 syarikat terbaik di Vietnam

Vietjet telah meraih kedudukan utama dalam senarai tahunan 50 Syarikat Tersenarai Teratas di Vietnam oleh majalah Forbes Vietnam, yang menampilkan firma perniagaan terkemuka dari pelbagai sektor di bursa saham negara tersebut.

Vietjet dalam kenyataan memberitahu, berdasarkan penyata kewangan Vietjet untuk tahun 2023 yang telah diaudit, syarikat penerbangan tersebut menduduki tempat kelima dalam hasil pendapatan, iaitu berjumlah VND 58.3 trilion (kira-kira RM 10.81 bilion) dan kadar pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 45%. Antara sepuluh syarikat teratas yang turut tersenarai ialah Petrolimex, Hoa Phat, PV Gas, Vinamilk dan FPT.

Vietjet telah menunjukkan pemulihan pasca-pandemik yang cemerlang melalui pengukuhan rangkaian penerbangan domestik dan juga pengembangan operasi penerbangan antarabangsanya.

Pada tahun lepas, syarikat penerbangan tersebut telah mengendalikan 133,000 penerbangan dan memberi perkhidmatan kepada 25.3 juta penumpang.

Ini adalah peningkatan dari tahun ke tahun yang ketara iaitu sebanyak 183%, dengan lebih 7.6 juta orang penumpang di laluan antarabangsa.

Vietjet telah memberi tumpuan untuk meningkatkan armada pesawat mesra alamnya, memberi penekanan terhadap matlamat pembangunan mampan, kecekapan bahan api dan inisiatif pengurangan pelepasan karbon.

Menjadi 50 Syarikat Tersenarai Teratas Forbes Vietnam 2024 ini merupakan satu lagi kemuncak pencapaian Vietjet berikutan pengiktirafan daripada pelbagai pihak lain termasuk dinamakan antara 50 syarikat penerbangan terbaik dunia dalam kategori kewangan dan operasi yang sihat oleh Airfinance Journal.

Selain itu, Vietjet turut diiktiraf sebagai salah satu daripada 50 jenama paling berharga di Vietnam, salah satu daripada 50 syarikat berprestasi cemerlang di Vietnam, salah satu daripada 10 syarikat tadbir urus korporat terbaik di bursa saham Vietnam, dan antara 20 syarikat yang tersenarai dengan skor pembangunan mampan yang tertinggi seperti mana yang telah ditentukan oleh Bursa Saham Ho Chi Minh (HOSE). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button