Vaksin Pfizer-BioNTech dihantar ke 16 pusat simpanan
VAKSIN Covid-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di negara kita pagi ini akan dihantar ke-16 pusat simpanan di seluruh negara.
Keseluruhannya sejumlah 312,390 dos vaksin itu tiba di Malaysia untuk fasa pertama dengan sejumlah lagi vaksin juga dijangka tiba di Johor dari Singapura pada pukul 2 petang ini menggunakan jalan darat.
“Sementara di Pulau Pinang dihantar melalui pesawat dan tiba pada jam 6 petang. Bagi Sabah dan Sarawak kita akan tentukan tarikh penghantarannya dalam masa terdekat,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddinpada sidang media selepas majlis penyerahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan telah menyediakan 54 lokasi sebagai pusat simpanan vaksin termasuk empat di Johor, Selangor (enam), masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta satu di Putrajaya.
Katanya, lokasi simpanan itu termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Pusat simpanan ini akan mengagihkan (vaksin) ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.
Pagi tadi, Malaysia menerima secara rasmi bekalan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech apabila pesawat Airbus 330-300 Malaysia Airlines MH604 yang membawanya mendarat di KLIA, kira-kira pukul 10 pagi.
Simbolik penyerahan dan penerimaan bekalan vaksin itu disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang membuka kotak penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech sebaik ditempatkan di pusat simpanan sementara di KLIA.
Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan singgah di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.