Nasional

Vaksin Covid-19: 9 juta mendaftar, kurang 10 peratus sudah disuntik

SERAMAI 9,447,232 orang sudahpun mendaftar untuk mendapatkan vaksin berdasarkan maklumat daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, kerajaan baharu menyuntik kurang 10 peratus daripadanya iaitu hanya 883,661 orang yang sudah menerima vaksin sejak dimulakan pada hujung Februari.

Proses itu dilihat bergerak perlahan kerana sepanjang 69 hari sejak vaksin pertama diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin.

Jika dilihat menerusi purata harian sehingga hari ini, kerajaan hanya memberikan vaksin kepada 12,807 orang sahaja pada setiap hari.

Berdasarkan purata itu juga, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun bagi memastikan 80 peratus populasi rakyat Malaysia dapat divaksin mengikut sasaran imunisasi kelompok.

Lantaran itu, kerajaan perlu memastikan sekurang-kurangnya 95,129 orang disuntik vaksin bermula hari esok sehingga 31 Disember 2021 supaya sasaran 24 juta rakyat Malaysia divaksin dapat dicapai.

Justeru, permohonan untuk mendapatkan vaksin secara terbuka adalah perlu bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia boleh mendapatkan vaksin tanpa perlu menunggu giliran dalam fasa.

Oleh demikian, lebih 210,000 slot temu janji untuk mendapatkan suntikan vaksin sudahpun penuh apabila permohonannya dibuka mulai hari ini sejak pukul 12.00 tengah hari  tadi.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, orang awam boleh mendaftar di laman web https://www.vaksincovid.gov.my/ untuk memohon tarikh temu janji bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Vaksin Covid-19 yang dibuka kepada umum untuk permohonan adalah jenis Astra Zeneca yang dihasilkan di United Kingdom.

Namun, Khairy Jamaluddin yang juga Pengerusi JKJAV memaklumkan Malaysia akan menerima jutaan lagi dos vaksin jenis Covax bermula bulan ini.

“Kita dijadualkan untuk menerima berjuta lagi dos vaksin jenis Covax. Kita akan perluaskan pendaftaran (vaksin) di semua negeri (kecuali Sarawak yang sebelum ini menolak) bagi memastikan mereka yang tidak mempunyai akses internet juga boleh memohon,” ciapnya dalam Twitter hari ini.

Sebelum ini dalam Belanjawan 2021, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan bagi mendapatkan bekalan vaksin Covid-19.

Kemudian RM2 bilion lagi ditambah sebagai peruntukan Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) meliputi RM1.2 bilion untuk bekalan vaksin dan RM0.8 bilion untuk program imunisasi.

Berdasarkan pengumuman Mahiaddin yang dibuat pada 17 Mac lalu, penambahan peruntukan vaksin bertujuan untuk mempercepatkan sasaran imunisasi kepada akhir tahun ini berbanding Februari 2022. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button