Politik

Uzzair yakin hentikan penghijrahan anak muda, graduan DUN Pemanis

CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, N3 Uzzair Ismail berkata, PN akan menangani isu penghijrahan anak-anak muda dan lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan dan membina kehidupan baharu di luar.

Beliau berkata, rata-rata mereka keluar dan membina kehidupan baharu di Johor Bahru serta Kuala Lumpur atau bandar lain yang menawarkan.

UZZAIR ISMAIL menyantuni masyarakat di kawasan DUN Pemanis.

“Untuk tempoh jangka panjang, penghijrahan mereka adalah merugikan kepada keseluruhan proses pembangunan sosioekonomi di DUN Pemanis.

“Ini kerana kemahiran serta bidang khusus yang mereka miliki sepatutnya digembleng untuk membangun serta mensejahterakan penduduk kawasan ini,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Uzzair, soal peluang pekerjaan yang terhad atau tiada di DUN Pemanis menjadi antara faktor yang memaksa mereka berhijrah

Justeru PN ujar Uzzair, mahu menukar keadaan ini dengan membawa lebih banyak pembangunan dan peluang-peluang ekonomi termasuk perniagaan, perusahaan dan perkhidmatan yang boleh diceburi di tempat sendiri.

Mengenai pertembungan empat penjuru kerusi DUN Pemanis pada PRN Johor, 12 Mac ini, Uzzair akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), PKR dan Pejuang.

Uzzair yang merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sekijang, berkata, beliau diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PN untuk bertanding di DUN Pemanis berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh parti.

“Kedudukan saya sebagai aktivis parti dan masyarakat serta ahli perniagaan adalah platform yang membuatkan dikenali serta disenangi di kalangan masyarakat di sekitar Parlimen Sekijang,” katanya.

Kata Uzzair, menjelang hari mengundi pada 12 Mac ini, beliau merayu dan mengajak pengundi di DUN Pemanis termasuk golongan muda untuk sama-sama bangkit menolak parti yang terpalit rasuah.

“Sebaliknya mengangkat kerajaan Perikatan Nasional yang memberi ikrar kepada pelaksanaan pembangunan yang adil untuk seluruh rakyat Johor,” ujar beliau.

Jika PN menang di DUN Pemanis, Ikrar Perikatan Nasional “Demi Bangsa Johor” yang melibatkan lapan tunjang, 24 strategi dan 144 pendekatan akan dilaksanakan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button