UTUSAN NENEK
Oleh Cikgu Kamarulazman
Hujan yang turun masih juga tidak menunjukkan tanda tanda akan berhenti. “Nah, ambil daun pisang ni sebagai payung. Nanti nenek tertunggu kamu. Kalau nak tunggu hujan ni berhenti, sampai petang nenek kamu tak dapat membaca surat khabar tu nanti”, kata ayah yang begitu risau akan nenek.
Aku segera menyarung selipar basah di anak tangga lalu bergegas pergi. Walaupun daun pisang itu bukanlah pengganti sekaki payung yang sempurna, namun ia memadai untuk menghalang terjahan air hujan yang cuba membasahi pakaian ku.
Sudah menjadi giliran ku ke kedai yang terletak hampir satu batu jaraknya dari rumah untuk mendapatkan senaskah Utusan Malaysia dan sebungkus nasi lemak atau sebuku roti untuk dibawa kepada Nenek Sidah pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Nenek yang lumpuh hanya mampu duduk di atas kerusi malasnya dan tinggal bersama Datuk Su di rumah kayunya di pinggir ladang getah berdekatan. Namun Datuk jarang sekali berada di rumah. Utusan sahajalah yang menjadi teman setia kepada Nenek. Nenek tidak boleh hidup tanpa Utusan.
Kini setiap kali aku terlihat dan merenung rak akhbar di kedai atau stesen minyak, wajah Utusan sudah tidak lagi kelihatan. Hati ini akan menjadi amat sayu. Aku akan teringkatkan Nenek Sidah yang meninggal dunia pada awal 70an. Utusanlah yang menjadi teman sejati nenek ketika dia sendirian di rumah sunyi itu. Wajahnya begitu ceria sekali ketika melihat kelibat aku bersama Utusannya. Tidak banyak yang aku ketahui tentang ibu saudara bapaku itu melainkan kecintaannya pada Utusan.
Utusan turut menjadi rakan yang mendewasakan kepada setiap lapisan masyarakat puluhan tahun lamanya. Utusanlah yang mendidik masyarakat Malaysia dengan berita-berita penting dalam dan luar negara. Ia merupakan sebuah institusi yang memainkan peranan penting dalam membangunkan minda masyarakat. Sejajar dengan sumbangan besarnya, Utusan sepatutnya diletakkan di tempat yang paling tinggi dalam khazanah sejarah negara.
Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan sedih dalam mengenang nasib Utusan dan setiap watak yang pernah bertungkus lumus meletakkannya di hati setiap pembacanya.
Bagaimana perasaan nenek agaknya jika Utusan berhenti beroperasi di kala nenek masih hidup? Aku tidak dapat gambarkan perasaan remuk redamnya.