Utamakan keharmonian sesama rakyat – Raja Muda Perlis
Perpaduan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat harus menjadi keutamaan semua. Dalam usaha memajukan negeri dan negara, kita akan dari masa kesemasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ancaman dari segenap sudut, baik dalam aspek sosial, ekonomi dan juga politik. Sekiranya tidak ditangani dengan baik dan berhemah, ia boleh bertukar menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat, konflik dan sengketa terbuka yang merugikan semua.
Seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya ini mestilah sama-sama secara terus menerus hidup bertunjangkan persefahaman, menghayati sifat bertolak ansur dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengambil bahagian di dalam aktiviti ‘Kayuhan Merdeka Ke-63’ yang dianjurkan secara bersama oleh pihak Rejimen 504 Askar Wataniah dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Perlis yang bermula dan berakhir di perkarangan Kem Bukit Keteri, Beseri.
Keberangkatan tiba baginda selaku Tuanku Komander rejimen berkenaan disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Pengarah Pengurusan Pelanggan TNB Perlis, Kapten Azian Alias yang juga merangkap Penolong Pegawai Pemerintah Skuadron 1 Utara 70 Rejimen Pakar Janaelektrik RAJD (Askar Wataniah).
Program menarik sempena bulan kemerdekaan itu disekalikan dengan ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 40 bagi tahun 2020’ yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di sepanjang laluan.
Menurut Zaidi, program ini dilaksanakan bagi memupuk semangat kecintaan kepada Negara dan pada masa yang sama mempromosi Askar Wataniah kepada orang ramai untuk menyertainya.
Azian pula menambah bahawa aktiviti sebegini memberi ruang untuk pihak TNB Perlis turut serta menabur bakti kepada penduduk setempat yang memerlukan khususnya di sekitar Bukit Keteri dan Bukit Jernih melalui aktiviti Tanggungjawab Sosial Korprat (CSR) mereka.
Kayuhan berakhir dengan para hadirin solat maghrib secara berjemaah di Surau Al-Watani, simbolik penyerahan pencerahan lampu TNB, melawat Galeri R504AW dan seterusnya jamuan makan malam di perkarangan Platun Kenderaan rejimen berkenaan.