Politik

SPR harap pengundi berseluar pendek yang dihalau, tidak merajuk

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap pengundi yang datang berseluar pendek dan dihalau dari pusat mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim hari ini tidak merajuk.

Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh mengakui berlaku salah faham oleh petugas SPR mengenai peraturan memakai seluar pendek sehingga ada yang dihalau daripada pusat pengundian.

Jelas Abdul Ghani, tiada peraturan khusus di bawah Akta Pilihan Raya yang melarang pengundi berseluar pendek mengundi.

“Ada insiden sedikit kerana salah faham. Kalau ikutkan tidak ada masalah, cuma berlaku sedikit salah faham.

“Yang tak boleh masuk jika dia (pengundi) berpakai parti dan menjolok mata. Pakai seluar pendek bagi saya (tiada masalah) pengundi boleh datang semula jangan merajuk,” katanya

Justeru beliau berharap pengundi yang diminta balik oleh petugas SPR “tidak merajuk” dan datang semula untuk menunaikan tanggungjawab.

Proses mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki hari ini kecoh selepas beberapa pengundi warga emas berang kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi kerana memakai seluar pendek.

Seorang daripada mereka menjerit sambil berkata, ini kali pertama dia tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian atas kesalahan pakaian.

Seorang ejen yang bertugas di pusat berkenaan menganggarkan lebih 10 pengundi dihalang untuk masuk ke pusat menggundi berkenaan.

“Mereka semua orang kampung, tak kan datang ke sini mahu pakai cantik-cantik macam nak pergi pejabat,” kata ejen terbabit.-SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button