Usaha pulihara Harimau Malaya tunjuk perkembangan positif
USAHA memulihara atau korservasi Harimau Malaya menunjukkan perkembangan positif hasil pelaksanaan sembilan tindakan strategik.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkaa, pada tahun 2021 antaranya peningkatan bilangan individu Harimau Malaya berbanding bilangan individu Harimau Malaya pada tahun 2021 yang direkodkan kurang daripada 150 ekor.
Katanya, bilangan sebenar akan dilaporkan pada tahun 2025 setelah keseluruhan data pemantauan dianalisis.
Katanya perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force) Ketiga (MyTTF Ke-3) yang dipengerusikan oleh beliau.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar di negeri-negeri rayauan harimau (Tiger Range States) iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta wakil Menteri
Persekutuan yang berkaitan.
Sebanyak dua Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman merangkumi inisiatif mempertingkatkan usaha konservasi spesies Harimau Malaya dan habitatnya di Semenanjung Malaysia telah dibentangkan.
Mesyuarat telah bersetuju dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya 2021-2030 (Malayan Tiger Crisis Action Plan – MTCAP). Mesyuarat juga telah bersetuju agar Malaysia menganggotai International Big Cat Alliance (IBCA) yang diterajui oleh Kerajaan India bagi mengukuhkan kerjasama strategik konservasi harimau dan habitatnya di peringkat antarabangsa.
MyTTF Ke-3 turut mengambil maklum mengenai status pelaksanaan tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya termasuk kejayaan operasi penguatkuasaan dengan menangkap 506 orang warganegara Malaysia dan 116 warganegara asing melibatkan sitaan berjumlah lebih RM270 juta serta status pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya iaitu Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS) yang melibatkan pendaftaran baharu dari Johor, Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu.
Mengenai peningkatan insiden roadkill yang menyebabkan kematian hidupan liar termasuk Harimau Malaya, Menteri Kerja Raya mencadangkan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI) melalui peranti pengesan pergerakan di kawasan jalan yang kerap berlakunya insiden
roadkill.
Teknologi ini dilihat dapat menjimatkan kos berbanding pembinaan lampu jalan kerana peranti tersebut berupaya memberi isyarat melalui kerlipan lampu kepada pemandu sebagai langkah berjaga-jaga. Kementerian Kerja Raya bersedia untuk menyokong pelaksanaan kajian bagi melihat kesesuaian inisiatif ini. Saya pula telah
menyarankan supaya kadar had laju di kawasan hotspot roadkill dikaji semula supaya pemandu lebih berhati-hati untuk mengelakkan risiko kejadian roadkill.
“Keberhasilan yang telah dicapai dalam konservasi Harimau Malaya menunjukkan bahawa usaha menyelamatkan Harimau Malaya akan membuahkan hasil jika Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua pihak bersepakat dan meletakkan komitmen yang tinggi dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.
“Saya menyeru agar usaha-usaha terus dipertingkatkan bagi mengukuhkan lagi agenda negara dalam memastikan spesies yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus buat selama-lamanya,” kata Nik Nazmi. – SM