UPSI turut meraikan ibu bapa kepada pelajar cemerlang
Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-26 yang berlangsung meriah sejak semalam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, mencatat momen istimewa apabila ibu bapa graduan penerima anugerah kecemerlangan dijemput ke pentas bersama anak mereka.
Langkah penuh bermakna ini, menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, adalah satu penghormatan kepada pengorbanan luar biasa ibu bapa dalam menyokong kejayaan anak-anak mereka sehingga berjaya menggenggam ijazah serta memperoleh pengiktirafan tertinggi.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Siti Fairuz Rohaliza Ejahar, mencuri tumpuan pada istiadat konvokesyen ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian itu bukan sahaja mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) cemerlang 3.89, malah turut menerima anugerah dekan setiap semester.
Sebagai mahasiswa yang aktif, beliau juga merupakan Alumni Felo Perdana dan Alumni Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSYEAP).
“Perjalanan saya hari ini didorong oleh doa ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan yang tidak pernah jemu menyokong saya. UPSI memberikan penghargaan yang amat besar apabila ibu bapa saya dijemput ke pentas untuk bersama-sama menerima anugerah ini.
“Ia adalah kenangan yang akan saya hargai sepanjang hayat,” kata anak bongsu daripada empat beradik
itu.
“Ibu bapanya, pasangan pesara kerajaan Ejahar Basran, 67, dan Siti Fatihah, 65, turut melahirkan rasa bangga melihat usaha dan pencapaian anak mereka yang kini mendapat pengiktirafan tertinggi di pentas akademik,” katanya.
Siti Fairuz Rohaliza menerima Anugerah Pelajaran Diraja daripada Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, yang juga merupakan Canselor UPSI.
Istiadat konvokesyen ini bukan sahaja menjadi medan meraikan kecemerlangan akademik, malah memperkukuh ikatan kekeluargaan melalui simbolik kehadiran ibu bapa di pentas penghargaan.
Inisiatif ini menjadikan UPSI bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi sebuah platform yang meraikan nilai kasih sayang, pengorbanan, dan kejayaan bersama.
Majlis gemilang ini terus mengukuhkan nama UPSI sebagai institusi terulung dalam mendidik generasi yang bukan sahaja cemerlang di bidang akademik, malah memiliki nilai kepimpinan dan integriti tinggi.