UPSI lantik pemilik Lewre’s Bespoke sebagai Profesor Adjung
Tanjung Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Seni, Kelestarian dan Indusrtri Kreatif (FSKIK), mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Lewre’s Bespoke, Datuk Lewre Lew Fong Voon sebagai Profesor Adjung di fakulti itu bagi tempoh dua tahun bermula November 2024 hingga Oktober 2026.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata dengan pelantikan berkenaan, UPSI terus komited untuk mengukuhkan hubungan dengan industri, selaras dengan aspirasi untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik dan inovasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha UPSI untuk merapatkan jurang antara akademik dan industri, dengan menampilkan tokoh profesional yang diiktiraf dalam bidang penjenamaan dan keusahawanan.
Datuk Lewre, dikenali di peringkat antarabangsa melalui jenama mewah Lewre’s Bespoke yang menerima surat lantikan disampaikan oeh Timbalan Naib Canselor(Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli pada 13 November lalu akan membawa kepakaran dan pengalaman industri yang luas kepada UPSI.
Menurut Dekan FSKIK, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Zaffwan Idris pelantikan itu dijangka memberi impak besar kepada pembangunan akademik dan profesional fakulti.
“Kehadiran Datuk Lewre sebagai Profesor Adjung bukan sahaja akan meningkatkan keterlihatan UPSI di peringkat global, tetapi juga memperkukuhkan perkongsian ilmu antara universiti dan industri, sekali gus memperkasakan pelajar dan pensyarah dalam bidang kreatif dan keusahawanan,” katanya.
Pelbagai program dirancang sepanjang tempoh pelantikan, termasuk ceramah berkaitan penjenamaan, sesi bimbingan kerjaya, program latihan amali bersama pelajar, serta kolaborasi antara universiti dan industri melalui geran penyelidikan.
Antara aktiviti utama adalah program sangkutan pensyarah di Lewre’s Bespoke dan program internship pelajar, yang bertujuan untuk menyediakan pengalaman dunia sebenar kepada pelajar UPSI.
Datuk Lewre menyatakan keterujaannya dengan pelantikan itu, malah amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UPSI untuk berkongsi ilmu dan pengalaman saya.
“Saya percaya integrasi antara akademik dan industri adalah kunci utama dalam menghasilkan graduan yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.