Pendidikan

UPSI cipta inovasi MySCREEN untuk tangani isu asuhan dan penjagaan kanak-kanak TASKA

Tanjung Malim: Sepanjang tahun 2023, sebanyak 310 kes penderaan kanak-kanak di TASKA dilaporkan dan dibimbangi meningkat sekiranya pengasuh atau pendidik tidak mendapat saringan awal bagi memastikan kesesuaian mereka untuk bekerja untuk mengasuh kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA).

Dilema ini turut ditimbulkan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Nancy Shukri yang berhasrat meneliti keperluan menjalankan ujian penilaian psikometrik secara tahunan kepada pengusaha dan pengasuh taska berdaftar di Malaysia merupakan satu langkah preventif yang strategik.

Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa berkata instrumen yang mengukur personaliti, kesihatan dan kesejahteraan diri, kompetensi emosi serta pengurusan konflik bagi mengukur kemampuan calon dalam memastikan prestasi baik dalam pekerjaan sudah tentu menjadi keperluan bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak, khususnya ketika mereka berada di TASKA.

NCDRC, katanya, mengambil usaha proaktif dalam usaha menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Justeru, katanya, satu inisiatif sistem saringan psikometrik yang dikenali sebagai Malaysia Psychometric Inventory for Care and Education (MySCREEN) dibangunkan melalui penyelidikan pada 2019 hingga 2021 yang melibatkan kepakaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, sisitem psikometrik dalam talian itu bertujuan sebagai inisiatif dalam memastikan pendidik dan pengasuh yang berkualiti dalam aktiviti penjagaan, pengasuhan serta didikan kanak-kanak.

Menurut beliau MySCREEN adalah salah satu inovasi yang diperkenalkan oleh penyelidik-penyelidik di NCDRC, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE), Fakulti Meta Teknologi (META), UPSI serta kolaborasi bersama pakar psikometrik industri.

Sistem itu, katanya, dibangunkan bagi menyaring calon pendidik atau pengasuh yang bakal diambil bekerja di TASKA dan TADIKA. MySCREEN direka bentuk berdasarkan kajian yang mendalam dan disesuaikan dengan lapan konstruk yang mampu membantu dalam menyaring serta membuat penilaian ke atas individu yang ingin bekerja dalam perkhidmatan asuhan dan didikan kanak-kanak.

Katanya, inovasi berkenaan berjaya menempa nama dan mendapat pengiktirafan di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa antaranya telah memenangi Pingat Emas di International Invention, Innovation Technology (ITEX) Exhibition 2022, Pingat Emas di Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam, Naib Johan KIK Peringkat Kebangsaan tahun 2023 dan yang terkini merangkul Anugerah Emas di International Convention on Quality Control (ICQCC), Beijing, China 2023.

Menurut Mazlina lagi, MySCREEN mampu memberi impak yang sangat positif bukan sahaja kepada pengusaha TASKA dan TADIKA, malahan juga memberi kesedaran kepada masyarakat keseluruhannya dalam memilih TASKA dan TADIKA yang selamat.

“Seterusnya mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan awal kanak-kanak sekaligus meningkatkan enrolmen kanak-kanak ke TASKA dan TADIKA bagi menjamin hak kanak-kanak ke atas pendidikan awal mereka. Selain itu, kerajaan juga dapat memperkasakan institusi pendidikan awal kanak-kanak dengan menjamin persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera kepada kanak-kanak.

Beliau berkata NCDRC merancang untuk memperkembangkan lagi penggunaan MySCREEN secara berperingkat di seluruh negara dan menyeru agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang berkaitan untuk menggunakan sistem ini bagi memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat pendidikan dan penjagaan yang terbaik melalui penyediaan persekitaran berkualiti termasuk pendidik dan pengasuh seterusnya melahirkan generasi yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

Sementara itu, Ketua Penyelidik, Dr. Nurul Hasyimah Mat Rani, berkata kejayaan dalam penciptaan sistem MySCREEN bukan sahaja dapat membantu dalam pemilihan individu yang berkualiti, tetapi juga sebagai platform saringan awal yang boleh mencegah masalah yang lebih serius pada masa akan datang.”

“Pemegang taruh dapat memilih pekerja TASKA dan TADIKA yang bersesuaian dan layak untuk bekerja dalam perkhidmatan asuhan dan didikan kanak-kanak bertepatan dengan kehendak Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Berdasarkan kepada rekod, katanya, seramai 4107 individu menduduki ujian MySCREEN yang terdiri daripada calon-calon pekerja TASKA dan TADIKA UPSI, agensi seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), serta calon pelajar Pendidikan Awal Kanak-kanak di bawah Fakulti Pembangunan Manusia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button