Nasional

UPSI capai penarafan QS University World Ranking 801-1000 dunia, sasar agenda kerjasama universiti antarabangsa

BUAT julung-julung kalinya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diiktiraf QS University World Ranking pada kedudukan tangga 801-1000 terbaik dunia.

Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, sebelum ini UPSI diiktiraf 205 terbaik QS World University Ranking peringkat Asia dan mencapai tahap 201-250 dalam subjek pendidikan pada tahun 2017.

QS World University Ranking, katanya, adalah satu penarafan antarabangsa bagi institusi pengajian tinggi yang mengambil enam aspek penilaian utama berdasarkan reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah bilangan pensyarah dengan pelajar, petikan akademik pensyarah, nisbah pensyarah antarabangsa dan nisbah pelajar antarabangsa.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen UPSI untuk memperkasakan aspek pengantarabangsaan khususnya dalam bidang pendidikan, “ katanya.
Beliau berkata lebih menggembirakan apabila pusat pengajian tersohor dan terulung yang bermula zaman Sultan Idris Training College (SITC) itu bakal menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan pada 22 November tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Profesor Madya Dr Azmi Mohamed berkata, menerusi kejayaan yang dicapai hari ini, UPSI berhasrat meneruskan agenda kolaborasi antarabangsa universiti terkemuka dalam bidang pendidikan.

Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Profesor Madya Dr Azmi Mohamed (dari kiri) bersama Jawatankuasa Pengurusan Universiti di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil, Tanjung Malim, Perak.

Terbaharu UPSI berkolaborasi dengan Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS) , Uzbekistan dan Institute of Asian and African Studies (IAAS), Moscow State University, Rusia menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

“UPSI optimis untuk menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu dengan mengukuhkan penarafan yang lebih tinggi hingga kedudukan 500 terbaik dunia.

“Pada masa yang sama, UPSI akan menggembleng tenaga ke arah kerjasama dengan universiti ternama antarabangsa selaras pelan strategik yang telah ditetapkan pengurusan,” jelasnya lanjut.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button